Tuesday 26 February 2013

Tujuan.


Utamakan tujuan.

Tujuan dalam bahasa arab ialah “hadaf” atau “qosad”. Ditentukan sesuatu pekerjaan itu samada ia baik atau sebaliknya perlu merujuk kepada kepada tujuannya. Jika baik tujuannya maka baiklah pekerjaannya,jika buruk tujuannya maka buruklah pekerjaannya. Tujuan  disinonimkan juga dengan niat.

Tujuan sebenar bagi seorang muslim  ialah inginkan kebahagiaan di akhirat. Yang dimaksudkan akhirat itu ialah Syurga Allah swt. Dua syarat utama untuk ke syurga Allah ialah punya iman serta beramal soleh. Di syurga semuanya indah belaka. Segala-galanya indah. Ketika di dunia ia miskin,di sana ia akan kaya raya. Ketika di dunia ia susah di sana ia akan senang lenang. Ketika di dunia ia derita, di sana ia hidup dengan kemewahan.

Rasulullah ada menceritakan perihal manusia yang pernah merasa derita di dunia akan tetapi sebaik saja ia memasuki  dan merasai kenikmatan syurga Allah, ia terus terlupa akan kisah deritanya.

Sepertimana yang tercatat di dalam kitab sohih muslim,bahawa Rasulullah telah bersabda : Pada hari kiamat nanti,Allah datangkan manusia yang paling nikmat dalam hidupnya ,segala-galanya nikmat. Allah ambil ia lalu Allah celupkan ia ke dalam neraka dengan sekali celupan. Kemudian Allah berkata kepadanya: Wahai anak Adam,adakah kamu pernah merasa nikmat dalam hidup ini? Ia menjawab: Tidak ya Allah,aku tidak pernah sekalipun merasa nikmat dalam hidup ini.
 Kerana azab dan siksanya dicelup dalam neraka ia terlupa kisah nikmat dulunya.

Kemudian Allah datangkan pula manusia yang paling derita hidupnya di dunia,segala-galanya derita. Daripada kalangan ahli syurga. Kemudian Allah ambil ia lalu Allah celupkan ia ke dalam syurga  dengan sekali celupan. Kemudian Allah berkata kepadanya : Wahai anak Adam ,adakah engkau pernah merasai derita sebelum ini? Lantas ia menjawab: Sungguh ya Allah, aku tak pernah rasa derita pun dalam hidup ini.
Kerana nikmatnya syurga,hanya sekali celupan saja di syurga,ia lupa kisah deritanya.(7019)

Meletakkan tujuan yang betul dapat menentukan matlamat kehidupan yang tepat,lurus dan menjurus. Tujuan seringkali digandingkan dengan matlamat. Matlamat merupakan sumber kekuatan kepada insan untuk mendorong kepada sebuah kejayaan. Dengan membesarkan matlamat,halangan dan rintangan akan menjadi kecil. Seterusnya memudahkan ia untuk menuju kepada kejayaan.


Tenangnya hati.

Melaksanakan sesuatu kerana inginkan keredaan Allah akan melahirkan rasa ketenangan dalam hatinya. Ketenangan tidak dapat dilihat,tetapi dapat dirasa. Sifatnya maknawi bukannya hissi. Tidak ada perkara yang paling berharga di dunia ini melainkan adanya ketenangan hati.Bukan semua manusia bisa memilikinya,hanya mereka yang akrab kepada Sang Pencipta sajalah yang layak memilikinya.Merekalah insan pilihan Allah.Bila insan menyerahkan segala urusannya kepada Allah,maka ia akan merasai manisnya ketenangan.

Imam Tirmizi meriwayatkan hadis di dalam kitab Jami’nya,bahawa Anas bin Malik telah berkata,Rasulullah telah bersabda: “ Sesiapa yang meletakkan  akhirat itu sebagai tujuannya maka Allah akan berikan ia kekayaan (ketenangan) pada hatinya, Allah kumpulkan (mudahkan) segala urusannya ,Allah datangkan dunia itu sedang dunia itu akur kepadanya. Dan barangsiapa meletakkan dunia itu sebagai tujuannya maka Allah akan fakirkan (sempitkan) pandangannya ,Allah susahkan atas urusannya, dan tidak datang dunia itu melainkan dengan apa yang dikadarkan saja padanya”.hadis ini dinilai hasan( 2465).

Melakukan sesuatu perkara semata-mata inginkan balasan dunia merupakan perkara yang merugikan. Mengapa pula merugikan? Bukankah dunia ini Allah ciptakan untuk kita? Ya,memang benar dunia ini Allah ciptakan untuk kita,akan tetapi ia bukanlah tujuan sebenar bagi kita!  Bukanlah ia sebagai matlamat hidup kita!  Dunia yang Allah ciptakan ini adalah sebagai alat untuk kita sampai kepada matlamat(syurga).

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan tiadalah kehidupan dunia ini selain daripada main-main dan gurau senda. Dan sungguh kampung akhirat  itu lebih baik bagi orang yang bertakwa.Maka tidakkah kamu memahaminya?” (surah Al-An’am:32)

Maksud “gurau senda” di ayat tersebut ialah kesenangan dunia itu hanya sebentar. Sifatnya tidak kekal.Dilarang manusia itu daripada terpedaya dengan kesenangan dunia.Dilarang juga ia lalai dari memperhatikan urusan akhirat.

Kata imam Ghazali : “Dunia itu tempat kita menanam, akhirat itu tempat kita menuai”. Maka jadikanlah dunia ini sebagai wasilah untuk kita sampai kepada ghayahnya(syurga).InsyaAllah.





0 comments:

Post a Comment