Tuesday 10 December 2013

0 comments






Tuesday 5 November 2013

0 comments
بسم الله الرحن الرحيم
 
 
Ada beberapa perkara yg agak keliru dikaitkan dengan bulan Muharram.
Antaranya, hijrah Nabi s.a.w dikatakan berlaku pada 1 Muharram, doa awal tahun dan buku catatan amalan ditutup dan dibuka yg baru.
HIJRAH
Hijrah Nabi s.a.w ke Madinah bermula pada bulan Safar. Manakala sahabat2 lain ramai yang berhijrah beberapa bulan sebelum baginda. Baginda sampai di Madinah pada bulan Rabi'ul Awwal. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, kitab sirah karangan Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri) Bukan bulan Muharram. 
Jadi, ada sedikit kekeliruan pada lirik nasyid yg kita dendangkan semenjak kecil dahulu..."Satu Muharram detik permulaan....perpindahan nabi dan umat Islam..."
Agak pahit utk menyampaikan, apatah lagi hendak ditelan,  tetapi kebenaran bukan untuk terus disimpan.
Muharram adalah bulan pertama daripada 12 bulan dalam perkiraan orang-orang Arab sejak zaman jahiliyyah. Namun mereka tidak ada sistem tahun seperti sekarang. Maka khalifah Umar al-Khattab r.a. memutuskan, selepas perbincangan dengan para sahabat yg lain, perkiraan tahun bagi umat Islam ialah bermula pada tahun hijrah nabi s.a.w. Pada tahun Nabi berhijrah itu, Nabi berhijrah dari tempoh Safar hingga Rabiul Awwal, bukan pada 1 Muharram.
DOA AWAL TAHUN (DAN BERANGKAI DENGAN DOA AKHIR TAHUN)
Doa itu ibadah, begitu juga memohon ampun, boleh dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai. Termasuklah doa kita contohnya, "Ya  Allah, semoga bermula tahun baru hijrah ini, bertambah iman dan ilmuku, dan semakin baik amalanku."
Namun doa awal tahun dan akhir tahun, yg dibaca dengan kaifiyyat tertentu dikritik oleh para ulama, kerana ia disandarkan kpd sebuah riwayat 'yang antaranya menganjurkan dibaca doa itu 3 kali, dan syaitan pun dikatakan kecewa tidak dapat menggodanya pada tahun itu.'
Riwayat ini tidak ditemui asal usulnya oleh para ulama. Ia dikemukakan dalam buku tertentu tanpa dinyatakan sanad dan sumber.
Tiada dalam kitab2 hadith mu'tabarah, dan diputuskan sebagai riwayat yg batil.
Jadi, tidak boleh kita yakini bahawa ia adalah anjuran dalam agama Islam.
CATATAN AMALAN
Dakwaan yg mengatakan catatan amalan ditutup pada akhir Zulhijjah, dan dibuka pada awal Muharram tidak didasari dengan dalil al-Quran, tidak juga daripada hadith Nabi s.a.w.
Hadithhadith yang sahih/ thabit menyebut bahawa amalan kita dibentangkan pada :
1. Setiap hari (setiap pagi dan petang.)

2. Dua kali setiap minggu (setiap Isnin dan Khamis)

3. Setiap tahun, iaitu pada bulan Syaaban. (Bukan nisfu Syaaban.   -Hadith palsu juga banyak berkisar tentang nisfu Syaaban-)
Hadith-hadith sahih/thabit bagi setiap kategori adalah seperti berikut :
1. Amalan diangkat/dibentang 2 kali setiap hari :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏"‏ يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلاَئِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلاَئِكَةٌ بِالنَّهَارِ، وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلاَةِ الْفَجْرِ وَصَلاَةِ الْعَصْرِ، ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ، فَيَسْأَلُهُمْ وَهْوَ أَعْلَمُ بِهِمْ كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي فَيَقُولُونَ تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ، وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ ‏"‏‏.

Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya : 
"Para malaikat (syif) malam dan malaikat (syif) siang silih berganti turun kepada kalian. Mereka berkumpul pada setiap waktu Subuh dan setiap waktu Asar. Kemudian, malaikat yg menjaga kalian (jika waktu Subuh, malaikat malam, jika waktu Asar, malaikat siang) naik ke atas. Allah pun bertanya kepada malaikat-malaikat itu - walhal Dia lebih mengetahui tentang hamba-hambaNya:
'Dalam keadaan bagaimana kamu semua tinggalkan hamba-hambaKu itu?'
Jawab para malaikat : 'Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang solat. Begitu juga ketika kami datang kepada mereka, mereka sedang solat.'"
(Sahih Bukhari, Kitab Waktu-Waktu Sembahyang, Bab Fadilat Sembahyang Asar. )
-Hadith Sahih-
Berbahagialah bagi mereka yang menunaikan solat Subuh dan solat Asar, lebih-lebih lagi di awal waktu.
2. Amalan juga diangkat setiap Isnin dan Khamis, dua kali seminggu :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏"‏ تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لاَ يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ رَجُلاً كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ فَيُقَالُ أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا ‏"‏ ‏.‏

Nabi s.a.w bersabda, maksudnya :
"Amalan-amalan manusia dibentangkan setiap minggu pada hari Isnin dan Khamis. Allah pun mengampunkan dosa setiap hambaNya yang beriman, kecuali hamba yang saling bermusuhan. Lalu dikatakan kepada para malaikat, 'Tinggalkan dahulu mereka berdua ini, sehinggalah mereka berdamai."
(Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, Bab Larangan Saling Bermusuhan Dan Saling Tidak Mempedulikan.)     
-Hadith Sahih.-
3. Amalan dibentangkan setiap tahun, pada bulan Syaaban. (Bukan Nisfu Syaaban)
عن زيد بن أسامة رضي الله عنهما قال: قلت: يا رسول الله لم أرك تصوم من شهر من الشهور ما تصوم في شعبان؟ قال: ذلك شهر يغفل الناس عنه بين رجب ورمضان، وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين، فأحب أن يرفع عملي وأنا صائم.

Usamah bin Zaid ra melaporkan, katanya, "Saya pernah bertanya, 'Wahai Rasulullah, mengapa saya tidak pernah lihat tuan berpuasa dalam bulan lain, sebanyak puasa tuan dalam bulan Syaaban?'
Jawab Rasulullah saw, "Itulah bulan yang ramai manusia lalai, antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yg diangkatkan amalan kepada Tuhan sekelian alam, dan saya suka amalan saya diangkat dalam keadaan saya sedang berpuasa.'"
(Al-Sunan al-Sughra, Kitab Puasa.)  
-Hadith Hasan-
BENARKAH ANJURAN MEMPERINGATKAN?
Tentang hadith anjuran supaya memperingatkan bulan Muharram, dengan ganjaran tidak dibakar api neraka, tidak dapat dikesan dari mana datangnya hadith itu.
Agak pelik bila lafaz yg sama juga disebarkan untuk bulan-bulan lain.
"Barangsiapa yg memperingatkan bulan Syaaban...."
"Barangsiapa yg memperingatkan bulan Zulhijjah...."
"Barangsiapa yg  memperingatkan bulan Rejab..."
Berdasarkan panduan para ulama dalam mengenali hadith palsu, dan jika kita biasa dengan hadith-hadith yang sahih, hadith ini perlu kita tawaqquf (jangan sebar, jangan beramal kerana hadith itu).
Sebarkanlah penjelasan tentangnya.
Kesimpulan :
Sedaya upaya yang mungkin, kita cuba pastikan sebaran yang dibuat menepati saranan hadith sahih :
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏"‏ بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً، وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ ‏"‏‏.

Nabi s.a.w bersabda, maksudnya, "Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat. Ceritakanlah tentang Bani Israel dan tidak mengapa (jika kamu tidak menyampaikannya atau jika kamu menyampaikannya). Dan sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka biar dia sediakan tempatnya dalam neraka."
(Sahih Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya, Bab Ma Dhukira Bani Israil.)‏
    والله اعلم.

Daripada tulisan Dr Abu Anas Madani.
 
Jazakallah khairan khathirah...
 
 
 
 
 
 
 

Tuesday 29 October 2013

0 comments


“Alkisah diceritakan ketika Imam As-Syafie rh.a masih kecil sedang ia duduk dalam majlis ilmu Imam Malik rh.a (gurunya) di Madinah Al-Munawwarah.

Imam Malik rh.a membaca hadis-hadis Rasulullah SAW di dalam masjidnya. Seperti biasa ,apabila membacakan hadis dia akan mengatakan: Daripada si fulan,daripada si fulan dan daripada pemilik maqam ini,kemudian ia mengisyaratkan kepada kubur Rasulullah SAW.

Imam As-Syafie  melihat apa yang dilakukan oleh gurunya...Lalu ia mengambil tali.Setiap kali apa-apa yang disebutkan oleh gurunya ia akan menggulung di tangannya.

Melihat perlakuan itu,Imam Malik berasa marah. Imam Malik menunggu sehinggalah selesai ia membacakan hadis sebanyak 40 hadis.

Imam Malik memanggilnya,kemudian Imam Syafie duduk di sisinya “Mengapa engkau bermain ketika aku membaca hadis-hadis Rasulullah SAW ?” Tanya Imam Malik.

“Wahai guruku,bukanlah aku bermain akan tetapi aku menggulung tali di tangan supaya aku mengingat setiap kali apa-apa yang telah engkau sampaikan. Aku takut aku terlupa . Aku tidak punya kertas dan pensil kerana aku tidak punya duit untuk membelinya”.

Imam Malik merasa terkejut.

“Baiklah...jika sungguh engkau benar maka bacalah walau satu hadis yang telah ku ajar sebelum-sebelum ini”.

Maka Imam Syafie pun duduk seperti duduknya Imam Malik ketika mengajar . Lalu ia membacakan: Daripada si fulan, daripada si fulan dan daripada pemilik maqam ini, dia mengisyaratkan sepertimana  yang telah diisyaratkan oleh Imam Malik ,kemudian ia membaca sehingga selesai 40 hadis.

Imam Malik merasa kagum dengan kepintaran Imam Syafie.

Seraya dia berkata “ Sesungguhnya aku melihat Allah menyinari hatimu dengan cahaya-Nya,maka janganlah engkau gelapi ia dengan kegelapan maksiat”.



“Telah diriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa seorang alim daripada suku Quraisy akan memenuhi dunia ini dengan ilmu”. (Al-Baihaqi-Manaqib Asy-Syafie 1/54).


 Pujian orang kepadanya, “Semua manusia kembali dengan membawa kecewa,Asy-Syafie kembali  dengan membawa permata”. (ibid. 2/306)






Monday 28 October 2013

warkah cinta...

0 comments







Friday 18 October 2013

Islam fitrah insani.

0 comments





Islam adalah cara hidup ad-deen yang datang daripada Allah . Terdiri daripada 3 elemen penting iaitu akidah,syariah dan akhlak. Perkataan islam berasal daripada perkataan “salama” yang membawa maksud selamat dan sejahtera. Lawan bagi sejahtera ialah “halak” yang bermaksud rosak dan binasa.

Mulianya sesuatu kaum kerana kekuatan mereka berpegang kuat dengan ajaran islam. Mereka memastikan  sebuah kehidupan  itu dipandu  berpaksikan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Sejarah telah membuktikan, Rasulullah S.A.W  dan para sahabat telah berjaya membawa islam ke seluruh  tanah arab. Bukan sahaja memperkenalkan islam tetapi menghayati intipati ajaran islam itu ke dalam jiwa-jiwa  manusia pada waktu itu.

Sabda Rasulullah “Sebaik-baik kurun ialah kurunku,kemudian kurun seterusnya dan kurun seterusnya...”



Langkah pertama,mereka berjaya memadamkan kepercayaan  jahiliah yang telah lama berakar umbi di kalangan masyarakat arab pada waktu itu. Mereka juga berjaya memadamkan unsur-unsur assobiah(perkauman), penganiayaan,kezaliman dan diskriminasi  antara manusia yang berkulit putih dengan yang hitam,antara golongan kaya dengan yang miskin,antara golongan atasan dengan yang bawahan,antara golongan yang memimpin dengan yang dipimpin dan antara golongan hamba dengan yang merdeka.Ini membuktikan agama islam itu mengutamakan keadilan kepada seluruh  lapisan manusia .

Ajaran Islam bukanlah  mengikat tetapi membebaskan. Membebaskan daripada belenggu kejahilan dan taklid buta kepada berpengetahuan dan matang dalam berfikir.  Selagimana cara berfikir itu dipagari  dengan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah.

Kejayaan salafus soleh terdahulu telah membawa perubahan yang  besar  dari segi ilmu pengetahuan  dan aspek yang lain. Persoalan dan permasalahan yang timbul, dijawab dan dirungkai oleh ilmuwan islam yang hebat dalam berfikir  berlandaskan nas-nas  Al-Quran dan As-Sunnah. Islam adalah agama yang menitikberatkan ilmu pengetahuan.

Terkadang berlaku juga perselisihan pendapat atau perbezaan pandangan pada sesuatu perkara.  Mereka berusaha menangani perkara tersebut dengan cara yang baik ,mengemukakan bukti serta hujah yang kukuh,penuh dengan adab  yang sopan dan saling hormat menghormati di antara kedua-dua pihak yang berselisih .



 Islam itu juga kaya ilmu dan akhlak . Maka adalah menjadi suatu kemestian kedua-duanya  disepadukan dan diselarikan agar tidak berlaku kepincangan kepada mereka yang ingin memahami dan mempelajarinya.

Umar Al-Khattab berkata:
“Sesungguhnya kami dahulu adalah kaum yang hina. Lalu Allah memuliakan kami dengan islam. Sekiranya kami mencari kemuliaan selain daripada apa yang dimuliakan oleh Allah,nescaya Allah akan menghina kami”.
(riwayat Al-Hakim, Al-Mustadrak ala Al-Sohihain,jil.1 halaman 130 no.207)



Di awal penyebaran islam dahulu,Umar Al-Khattab,Khalid Al-Walid,Abu Sufian dan lainnya antara kalangan mereka yang membenci  ajaran islam . Mereka menganggap kedatangan islam akan melenyapkan kepercayaan datuk nenek moyang mereka yang dipercayai sejak turun temurun. Kemudian di tambah lagi hasutan demi hasutan dengan cerita -cerita yang ditokok tambah membuatkan mereka bertekad untuk cuba menghancurkan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.

Namun hidayah itu milik Allah SWT. Tidak ada sesiapa yang mampu menahannya . Mereka mengakui keislaman mereka di hadapan nabi SAW. Keislaman Umar dan selainnya diketahui oleh arab musyrikin Mekkah dan seluruhnya. Arab musyrikin Mekkah bimbang dengan hal sedemikian kerana dengan keislaman mereka menjadikan agama islam semakin kuat dan mudah tersebar luas ke seluruh tanah arab pada waktu itu.

Agama islam adalah agama yang membawa rahmat sekalian alam. Bukan sahaja untuk manusia ,bahkan untuk sekalian makhluk baik yang hidup atau yang mati. Kehidupan ini memerlukan kepada rahmat ilahi lebih daripada segala-galanya. Hari ini kita dihidupkan kerana rahmatNya . Hari ini kita diberikan kesihatan kerana rahmatNya. Hari ini kita masih berkesempatan merasai nikmat-nikmat Allah kerana rahmatNya. Hari ini kita hidup dalam kebahagiaan ,pun kerana rahmatNya.Pendek kata, semuanya kerana rahmatNya. Jikalau bukan kerana rahmatNya ,maka siapalah kita?

Allah berfirman “Katakanlah kepada hamba-hambaku yang mereka itu melampaui batas terhadap diri mereka sendiri , jangan mereka putus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa(melainkan syirik) . Sesungguhnya Dia Maha pengampun lagi Maha penyayang”.  (surah Az-Zumar: 53)         




Kasih sayang Allah adalah kasih sayang yang luar biasa.  Kasih sayang Allah melebihi  kasihnya seorang ibu kepada anaknya. Kasih sayang Allah melebihi kasihnya seorang suami kepada isterinya.Tuntasnya kasih sayang Allah pasti membahagiakan dan membawa ke syurga.

 Allah ingin dan berharap  hamba-hambaNya masuk ke syurga dan menikmati segala nikmat yang ada di dalamnya. Allah sediakan syurga untuk mereka yang benar-benar mengimpikannya. Bukankah sekalian  manusia itu mengimpikan masuk syurga?

Tidaklah sama sekali, Allah menginginkan hamba-hambaNya dimasukkan ke neraka. Akan tetapi kerana kufur,lalai dan menuruti hawa nafsu menyebabkan manusia menjadi asbab dirinya dimasukkan ke dalam neraka

 Nabi telah menjelaskan perihal keindahan Syurga,

Dalam sebuah hadis qudsi riwayat Al-Bukhari, Allah swt telah berfirman yang bermaksud:

"Aku telah siapkan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh itu sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga (kelunakan bunyinya)  dan tidak pernah terlintas akan keindahan itu di dalam hati manusia." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis ini, Ibn Abbas berpendapat bahawa semua benda-benda Syurgawi jika dibandingkan dengan benda-benda duniawi, hanya sama dari segi sebutan namun berbeza dari segi hakikat.
(Tafsir Ibnu kathir/  jil.1 / halaman 81)




Kepada Pendosa...

Bagi manusia yang mengakui dirinya sebagai pendosa,jangan risau. Allah itu maha pengampun lagi maha penyayang. Yakinlah! Allah pasti akan mengampunkan kepada sesiapa yang benar-benar ingin kembalinya kepadaNya. Allah tidak pernah mengecewakan sesiapa pun akan tetapi manusia itu sendiri yang “mencipta” kekecewaan di dalam dirinya. Kembalilah kepada Allah dengan meminta ampun,kerana seluas-luas pintu yang ada di dalam islam adalah pintu keampunan.

Sabda Rasulullah S.A.W...
 “Sesungguhnya Allah itu melebarkan tangan-Nya pada waktu malam untuk mengampunkan dosa-dosa di waktu siang, dan Allah melebarkan jua tangan-Nya di waktu siang untuk mengampunkan dosa-dosa di waktu malam”.(HR Muslim)

Hadia Qudsi:
“Wahai Anak Adam! Sekiranya kamu meminta dan berharap kepadaKu,pasti Aku akan ampunkan kamu dengan apa yang telah kamu lakukan dan Aku tidak peduli”.
“Wahai Anak Adam! Walaupun dosamu mencecah langit sekalipun,kemudian kamu meminta ampun pada-Ku,nescaya Aku akan ampunkan dan Aku tidak peduli”.
“Wahai Anak Adam! Jikalau kamu datang kepadaKu dengan dosa seisi bumi ini pun,kamu bertemu Aku dalam keadaan kamu tidak mensyirikkan-Ku,nesaya Aku akan datang pula kepadamu dengan keampunan seisi bumi ini juga.(HR Tirmizi).









Monday 9 September 2013

Sabbit Qalbi ala Dinik.

0 comments


"Kehidupan di dunia itu tidak ada yang tetap   
yang  tetap itu ialah berubah
kerana yang  berubah itulah ketetapan yang ada dalam dunia.

Panas terik!
Benar
Nanti akan hujan.

Hujan lebat!
Benar
Nanti akan panas.

Di suatu tempat,hujan yang lebat timbul banjir
Iya! banjir itu tidak tiap-tiap hari nanti dia akan kering juga
Di laut begitu juga,ada pasang naik tergenang sampai ke atas
Iya! Esok pagi ia akan kering 
Daripada pasang ke surut dan pasang lagi.

Begitulah  kehidupan di dunia ini
Harus kita meyakininya
Agar kita tidak terumbang-ambing dalam kehidupan ini

Andai kita mula terumbang-ambing
Terangnya hari,kita pula merasa gelap(gelapnya jiwa)

Hari panas terik,kita pula berhujan
Di hujani oleh keringat kita sendiri

Hari ini engkau rasa derita dan susah
Benar engkau rasa derita dan susah
Tetapi derita dan susah bukanlah tiap-tiap hari
Pasti di suatu hari nanti Dia memberi engkau kesenangan dan kebahagiaan

Kerana itu
Jagalah hatimu!
Jika ia baik,maka baiklah seluruhnya
Jika ia buruk,maka buruklah seluruhnya”

Wahai pembolak balik tiap-tiap hati
Tetapkan hati  kami padaMu…Amin

Buya Hamka






Thursday 27 June 2013

Cuti-cuti

0 comments


Periksa berlalu pergi…

Alhamdulillah imtihan fasa kedua telah selamat melabuhkan tirainya.Hampir sebulan lebih imtihan dijalankan. Walaupun telah berlalu,ternyata ianya masih segar diingatan.Bermula 25 Mei 2013 dan berakhir pada 17 Jun 2013.Diakhiri dengan madah fiqh syafie.


Fiqh syafie atau nama panjangnya Fiqh mazhab syafie merupakan madah khusus bagi pelajar yang bermazhab syafie. Fikh Syafie diasaskan oleh imam yang mulia Al-Imam As-Syafie r.anhu(meninggal 204H).Terhimpun di dalamnya pendapat-pendapat Imam As-Syafie sendiri dan para pengikut mazhabnya.Imam As-Syafie adalah dikalangan ahli fuqoha dan ahli muhaddisin yang masyhur.


Kehebatannya tidak dapat ditandingi pada zaman itu.Mereka yang mengenalinya pasti akan kagum dan memuji kepintaran Imam As-Syafie. Muhammad bin Idris As-Syafie adalah nama sebenarnya.Dia dibesarkan dalam keadaan yatim dan kehidupannya  yang serba kekurangan  banyak mempengaruhi dirinya untuk bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu.


Berehlah mencari ilmu merupakan perkara yang disukainya.Sanggup bermusafir beribu batu semata-mata ingin mendalami ilmu dan mendengar hadis-hadis Nabi s.a.w.Sifat zuhud, tawaduk dan lemah -lembutnya  membuatkan orang ramai sangat menyayanginya.Dia juga digelar mujaddid(tokoh pembaharuan) pada zamannya.


Berkata Hamid bin Zanjawiyyah: Aku mendengar Imam Ahmad Bin Hanbal meriwayatkan hadis Nabi s.a.w yang berbunyi “sesungguhnya Allah akan mengurniakan kepada ahli agamanya pada tiap-tiap seratus tahun, dengan kewujudan seorang laki-laki daripada kalangan ahli keluargaku untuk menerangkan urusan agama kepada mereka”.

Imam Ahmad berkata :Aku melihat  seratus tahun pertama Khalifah Omar Bin Abdul Aziz dan seratus tahun kedua ialah Imam Muhammad bin Idris As-Syafie r.anhu.
Sumber:

(Kitab Hilyatul Awliya, Darul Hadis ,jilid ke-7/238)

Dinilai sohih dalam kitab (Al-Mustadrak :8592,8593) (sunan Abu Daud :4291) (Mu’jam Awsat :6527).



Mempelajari madah fiqh syafie bukanlah menjadikan  seseorang itu taksub kepada pendapat mazhab syafie sahaja dan menolak pendapat mazhab lain.Tujuan mempelajarinya untuk mengetahui metode atau cara ulama As-Syafieyyah menyelesaikan isu permasalahan fiqh yang timbul.Mereka juga mengeluarkan pendapat atau fatwa  berdasarkan pemahaman mereka pada ayat -ayat Al-Quran dan Al-Hadis yang bersifat zonni.Permasalahan disini hanya menjurus kepada perkara furuiyyah(perkara cabang) bukannya perkara usuliyyah(perkara asas).


Contoh perkara furuiyyah yang boleh disertakan disini ialah hukum perlaksanaan wudu’.Ulama sepakat mengatakan bahawa berwudu’ itu adalah wajib.Akan tetapi perlaksanaanya samada wajib tertib atau tidak,di situ berlakunya perselisihan pendapat antara ulama.Ada yang mengatakan wajib tertib dan ada yang mengatakan tidak wajib tertib.Kedua-dua pendapat ini mempunyai dalil dan hujah tersendiri.Ianya masih diterima kerana dua sebab.Sebab pertama ianya  berlaku masih dalam kerangka perkara-perkara khilafiah.Sebab kedua ianya diterima kerana dalil yang digunakan bersifat zonni.


Ilmu Fiqh ialah suatu ilmu yang memerlukan kepada dalil dan pencerahan hujah.Pemahaman yang mendalam pada dalil akan menghasilkan hujah yang baik dan mapan.Ilmu fiqh juga antara ilmu yang sebanding dengan ilmu-ilmu yang lain contohnya ilmu hadis ,ilmu tafsir,ilmu usul fiqh dan ilmu lugah(ilmu bahasa arab).



Mempelajarinya juga  akan membawa pemikiran pelajar kepada bersifat keterbukaan dan bertoleransi dalam menerima perbezaan pendapat.Ianya juga bersifat fleksibel dan anjal dalam penetapan hukum sesuai dengan kehendak syarak dan peredaran semasa.Masalah kejumudan dan kerumitan tidak akan timbul sekiranya pelajar itu mempelajari ilmu ini dengan baik sekaligus memudahkan pelajar itu mengamalkan  segala tuntutan agama dengan tepat dan benar.


Berkata imam As-Syafie,sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-khatib Al-Baghdadi di dalam kitabnya Al-Faqih wal Mutafaqqih (1/59):

لَا يَحِلُّ لِأَحَدٍ أَنْ يُفْتِيَ فِي دِينِ اللَّهِ إلَّا رَجُلًا عَارِفًا بِكِتَابِ اللَّهِ بِنَاسِخِهِ وَمَنْسُوخِهِ ، وَمُحْكَمِهِ وَمُتَشَابِهِهِ ، وَتَأْوِيلِهِ وَتَنْزِيلِهِ ، وَمَكِّيِّهِ وَمَدَنِيِّهِ ، وَمَا أُرِيدَ بِهِ ، وَيَكُونُ بَعْدَ ذَلِكَ بَصِيرًا بِحَدِيثِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَبِالنَّاسِخِ وَالْمَنْسُوخِ ، وَيَعْرِفُ مِنْ الْحَدِيثِ مِثْلَ مَا عَرَفَ مِنْ الْقُرْآنِ ، وَيَكُونُ بَصِيرًا بِاللُّغَةِ ، بَصِيرًا بِالشِّعْرِ وَمَا يَحْتَاجُ إلَيْهِ لِلسُّنَّةِ وَالْقُرْآنِ ، وَيَسْتَعْمِلُ هَذَا مَعَ الْإِنْصَافِ ، وَيَكُونُ بَعْدَ هَذَا مُشْرِفًا عَلَى اخْتِلَافِ أَهْلِ الْأَمْصَارِ ، وَتَكُونُ لَهُ قَرِيحَةٌ بَعْدَ هَذَا ، فَإِذَا كَانَ هَكَذَا فَلَهُ أَنْ يَتَكَلَّمَ وَيُفْتِيَ فِي الْحَلَالِ وَالْحَرَامِ ، وَإِذَا لَمْ يَكُنْ هَكَذَا فَلَيْسَ لَهُ أَنْ يُفْتِيَ .



“Tidak halal bagi seseorang berfatwa di dalam agama Allah kecuali seseorang yang menguasai Kitab Allah,nasikh dan mansukhnya,muhkam dan mutasyabihnya,takwil dan tanzilnya,makki dan madaninya,dan apa-apa yang dimaksudkan dengannya. Setelah itu,ia juga wajib menguasai hadis Rasulullah s.a.w,nasikh dan mansukhnya,dan ia menguasai hadis sepertimana ia menguasai Al-Quran. Ia juga mesti menguasai ilmu bahasa,menguasai syair-syair Arab yang diperlukan dalam memahami Al-Quran dan As-Sunnah.Dan menggunakan ilmu ini dengan penuh keinsafan.Setelah itu,ia juga mesti mengetahui ikhtilaf para ulama dari berbagai begeri,ia juga harus memiliki pemikiran yang tajam.Apabila orang seperti ini,maka dipersilakan untuknya berbicara dan berfatwa di dalam perkara halal dan haram.Jika tidak seperti itu,maka tidak boleh baginya berfatwa”.






Cuti yang berharga.


Alhamdulillah setelah selesainya imtihan maka cuti musim panas pun bermula. Cuti fasa kedua adalah cuti yang panjang. Bagi mereka yang punya aktiviti dan program,maka waktu cutilah waktu yang ditunggu-tunggu.


Musim cuti akan bernilai dan berharga bagi mereka yang benar-benar menghargainya. Gunakanlah masa yang ada sebaik-baiknya. Beruntunglah bagi mereka yang bijak mengisinya dan rugilah bagi mereka yang mengabaikannya.


Rasulullah ada mengingatkan kita “Dua nikmat yang sering kebanyakkan manusia terlepas pandang dengannya:nikmat sihat dan nikmat LAPANG”.(HR Tirmizi : 2304)


Alangkah baiknya  di waktu cuti ini bagi mereka yang tidak ke mana-mana,banyakkanlah membaca dan mengulangkaji  ilmu-ilmu yang telah dipelajari.


 Kalau di waktu periksa dulu kita antara orang yang rajin membaca,takkan  waktu cuti yang luang ini kita malas untuk membaca.


Bukankah semakin banyak kita membaca semakin banyak perkara baru yang boleh kita ketahui?


Bukankah islam itu agama membaca?


Firman Allah: “katakanlah wahai Muhammad : Seandainya kesemua lautan itu menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Rabbku,sudah tentu akan habis kekeringan air laut itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Rabbku,sekalipun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan,maka ia akan habis juga” (surah Al-Kahfi: 109)

Waallahu a’lam.