Thursday 27 June 2013

Cuti-cuti



Periksa berlalu pergi…

Alhamdulillah imtihan fasa kedua telah selamat melabuhkan tirainya.Hampir sebulan lebih imtihan dijalankan. Walaupun telah berlalu,ternyata ianya masih segar diingatan.Bermula 25 Mei 2013 dan berakhir pada 17 Jun 2013.Diakhiri dengan madah fiqh syafie.


Fiqh syafie atau nama panjangnya Fiqh mazhab syafie merupakan madah khusus bagi pelajar yang bermazhab syafie. Fikh Syafie diasaskan oleh imam yang mulia Al-Imam As-Syafie r.anhu(meninggal 204H).Terhimpun di dalamnya pendapat-pendapat Imam As-Syafie sendiri dan para pengikut mazhabnya.Imam As-Syafie adalah dikalangan ahli fuqoha dan ahli muhaddisin yang masyhur.


Kehebatannya tidak dapat ditandingi pada zaman itu.Mereka yang mengenalinya pasti akan kagum dan memuji kepintaran Imam As-Syafie. Muhammad bin Idris As-Syafie adalah nama sebenarnya.Dia dibesarkan dalam keadaan yatim dan kehidupannya  yang serba kekurangan  banyak mempengaruhi dirinya untuk bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu.


Berehlah mencari ilmu merupakan perkara yang disukainya.Sanggup bermusafir beribu batu semata-mata ingin mendalami ilmu dan mendengar hadis-hadis Nabi s.a.w.Sifat zuhud, tawaduk dan lemah -lembutnya  membuatkan orang ramai sangat menyayanginya.Dia juga digelar mujaddid(tokoh pembaharuan) pada zamannya.


Berkata Hamid bin Zanjawiyyah: Aku mendengar Imam Ahmad Bin Hanbal meriwayatkan hadis Nabi s.a.w yang berbunyi “sesungguhnya Allah akan mengurniakan kepada ahli agamanya pada tiap-tiap seratus tahun, dengan kewujudan seorang laki-laki daripada kalangan ahli keluargaku untuk menerangkan urusan agama kepada mereka”.

Imam Ahmad berkata :Aku melihat  seratus tahun pertama Khalifah Omar Bin Abdul Aziz dan seratus tahun kedua ialah Imam Muhammad bin Idris As-Syafie r.anhu.
Sumber:

(Kitab Hilyatul Awliya, Darul Hadis ,jilid ke-7/238)

Dinilai sohih dalam kitab (Al-Mustadrak :8592,8593) (sunan Abu Daud :4291) (Mu’jam Awsat :6527).



Mempelajari madah fiqh syafie bukanlah menjadikan  seseorang itu taksub kepada pendapat mazhab syafie sahaja dan menolak pendapat mazhab lain.Tujuan mempelajarinya untuk mengetahui metode atau cara ulama As-Syafieyyah menyelesaikan isu permasalahan fiqh yang timbul.Mereka juga mengeluarkan pendapat atau fatwa  berdasarkan pemahaman mereka pada ayat -ayat Al-Quran dan Al-Hadis yang bersifat zonni.Permasalahan disini hanya menjurus kepada perkara furuiyyah(perkara cabang) bukannya perkara usuliyyah(perkara asas).


Contoh perkara furuiyyah yang boleh disertakan disini ialah hukum perlaksanaan wudu’.Ulama sepakat mengatakan bahawa berwudu’ itu adalah wajib.Akan tetapi perlaksanaanya samada wajib tertib atau tidak,di situ berlakunya perselisihan pendapat antara ulama.Ada yang mengatakan wajib tertib dan ada yang mengatakan tidak wajib tertib.Kedua-dua pendapat ini mempunyai dalil dan hujah tersendiri.Ianya masih diterima kerana dua sebab.Sebab pertama ianya  berlaku masih dalam kerangka perkara-perkara khilafiah.Sebab kedua ianya diterima kerana dalil yang digunakan bersifat zonni.


Ilmu Fiqh ialah suatu ilmu yang memerlukan kepada dalil dan pencerahan hujah.Pemahaman yang mendalam pada dalil akan menghasilkan hujah yang baik dan mapan.Ilmu fiqh juga antara ilmu yang sebanding dengan ilmu-ilmu yang lain contohnya ilmu hadis ,ilmu tafsir,ilmu usul fiqh dan ilmu lugah(ilmu bahasa arab).



Mempelajarinya juga  akan membawa pemikiran pelajar kepada bersifat keterbukaan dan bertoleransi dalam menerima perbezaan pendapat.Ianya juga bersifat fleksibel dan anjal dalam penetapan hukum sesuai dengan kehendak syarak dan peredaran semasa.Masalah kejumudan dan kerumitan tidak akan timbul sekiranya pelajar itu mempelajari ilmu ini dengan baik sekaligus memudahkan pelajar itu mengamalkan  segala tuntutan agama dengan tepat dan benar.


Berkata imam As-Syafie,sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-khatib Al-Baghdadi di dalam kitabnya Al-Faqih wal Mutafaqqih (1/59):

لَا يَحِلُّ لِأَحَدٍ أَنْ يُفْتِيَ فِي دِينِ اللَّهِ إلَّا رَجُلًا عَارِفًا بِكِتَابِ اللَّهِ بِنَاسِخِهِ وَمَنْسُوخِهِ ، وَمُحْكَمِهِ وَمُتَشَابِهِهِ ، وَتَأْوِيلِهِ وَتَنْزِيلِهِ ، وَمَكِّيِّهِ وَمَدَنِيِّهِ ، وَمَا أُرِيدَ بِهِ ، وَيَكُونُ بَعْدَ ذَلِكَ بَصِيرًا بِحَدِيثِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَبِالنَّاسِخِ وَالْمَنْسُوخِ ، وَيَعْرِفُ مِنْ الْحَدِيثِ مِثْلَ مَا عَرَفَ مِنْ الْقُرْآنِ ، وَيَكُونُ بَصِيرًا بِاللُّغَةِ ، بَصِيرًا بِالشِّعْرِ وَمَا يَحْتَاجُ إلَيْهِ لِلسُّنَّةِ وَالْقُرْآنِ ، وَيَسْتَعْمِلُ هَذَا مَعَ الْإِنْصَافِ ، وَيَكُونُ بَعْدَ هَذَا مُشْرِفًا عَلَى اخْتِلَافِ أَهْلِ الْأَمْصَارِ ، وَتَكُونُ لَهُ قَرِيحَةٌ بَعْدَ هَذَا ، فَإِذَا كَانَ هَكَذَا فَلَهُ أَنْ يَتَكَلَّمَ وَيُفْتِيَ فِي الْحَلَالِ وَالْحَرَامِ ، وَإِذَا لَمْ يَكُنْ هَكَذَا فَلَيْسَ لَهُ أَنْ يُفْتِيَ .



“Tidak halal bagi seseorang berfatwa di dalam agama Allah kecuali seseorang yang menguasai Kitab Allah,nasikh dan mansukhnya,muhkam dan mutasyabihnya,takwil dan tanzilnya,makki dan madaninya,dan apa-apa yang dimaksudkan dengannya. Setelah itu,ia juga wajib menguasai hadis Rasulullah s.a.w,nasikh dan mansukhnya,dan ia menguasai hadis sepertimana ia menguasai Al-Quran. Ia juga mesti menguasai ilmu bahasa,menguasai syair-syair Arab yang diperlukan dalam memahami Al-Quran dan As-Sunnah.Dan menggunakan ilmu ini dengan penuh keinsafan.Setelah itu,ia juga mesti mengetahui ikhtilaf para ulama dari berbagai begeri,ia juga harus memiliki pemikiran yang tajam.Apabila orang seperti ini,maka dipersilakan untuknya berbicara dan berfatwa di dalam perkara halal dan haram.Jika tidak seperti itu,maka tidak boleh baginya berfatwa”.






Cuti yang berharga.


Alhamdulillah setelah selesainya imtihan maka cuti musim panas pun bermula. Cuti fasa kedua adalah cuti yang panjang. Bagi mereka yang punya aktiviti dan program,maka waktu cutilah waktu yang ditunggu-tunggu.


Musim cuti akan bernilai dan berharga bagi mereka yang benar-benar menghargainya. Gunakanlah masa yang ada sebaik-baiknya. Beruntunglah bagi mereka yang bijak mengisinya dan rugilah bagi mereka yang mengabaikannya.


Rasulullah ada mengingatkan kita “Dua nikmat yang sering kebanyakkan manusia terlepas pandang dengannya:nikmat sihat dan nikmat LAPANG”.(HR Tirmizi : 2304)


Alangkah baiknya  di waktu cuti ini bagi mereka yang tidak ke mana-mana,banyakkanlah membaca dan mengulangkaji  ilmu-ilmu yang telah dipelajari.


 Kalau di waktu periksa dulu kita antara orang yang rajin membaca,takkan  waktu cuti yang luang ini kita malas untuk membaca.


Bukankah semakin banyak kita membaca semakin banyak perkara baru yang boleh kita ketahui?


Bukankah islam itu agama membaca?


Firman Allah: “katakanlah wahai Muhammad : Seandainya kesemua lautan itu menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Rabbku,sudah tentu akan habis kekeringan air laut itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Rabbku,sekalipun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan,maka ia akan habis juga” (surah Al-Kahfi: 109)

Waallahu a’lam.




 


0 comments:

Post a Comment