Friday 18 October 2013

Islam fitrah insani.






Islam adalah cara hidup ad-deen yang datang daripada Allah . Terdiri daripada 3 elemen penting iaitu akidah,syariah dan akhlak. Perkataan islam berasal daripada perkataan “salama” yang membawa maksud selamat dan sejahtera. Lawan bagi sejahtera ialah “halak” yang bermaksud rosak dan binasa.

Mulianya sesuatu kaum kerana kekuatan mereka berpegang kuat dengan ajaran islam. Mereka memastikan  sebuah kehidupan  itu dipandu  berpaksikan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Sejarah telah membuktikan, Rasulullah S.A.W  dan para sahabat telah berjaya membawa islam ke seluruh  tanah arab. Bukan sahaja memperkenalkan islam tetapi menghayati intipati ajaran islam itu ke dalam jiwa-jiwa  manusia pada waktu itu.

Sabda Rasulullah “Sebaik-baik kurun ialah kurunku,kemudian kurun seterusnya dan kurun seterusnya...”



Langkah pertama,mereka berjaya memadamkan kepercayaan  jahiliah yang telah lama berakar umbi di kalangan masyarakat arab pada waktu itu. Mereka juga berjaya memadamkan unsur-unsur assobiah(perkauman), penganiayaan,kezaliman dan diskriminasi  antara manusia yang berkulit putih dengan yang hitam,antara golongan kaya dengan yang miskin,antara golongan atasan dengan yang bawahan,antara golongan yang memimpin dengan yang dipimpin dan antara golongan hamba dengan yang merdeka.Ini membuktikan agama islam itu mengutamakan keadilan kepada seluruh  lapisan manusia .

Ajaran Islam bukanlah  mengikat tetapi membebaskan. Membebaskan daripada belenggu kejahilan dan taklid buta kepada berpengetahuan dan matang dalam berfikir.  Selagimana cara berfikir itu dipagari  dengan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah.

Kejayaan salafus soleh terdahulu telah membawa perubahan yang  besar  dari segi ilmu pengetahuan  dan aspek yang lain. Persoalan dan permasalahan yang timbul, dijawab dan dirungkai oleh ilmuwan islam yang hebat dalam berfikir  berlandaskan nas-nas  Al-Quran dan As-Sunnah. Islam adalah agama yang menitikberatkan ilmu pengetahuan.

Terkadang berlaku juga perselisihan pendapat atau perbezaan pandangan pada sesuatu perkara.  Mereka berusaha menangani perkara tersebut dengan cara yang baik ,mengemukakan bukti serta hujah yang kukuh,penuh dengan adab  yang sopan dan saling hormat menghormati di antara kedua-dua pihak yang berselisih .



 Islam itu juga kaya ilmu dan akhlak . Maka adalah menjadi suatu kemestian kedua-duanya  disepadukan dan diselarikan agar tidak berlaku kepincangan kepada mereka yang ingin memahami dan mempelajarinya.

Umar Al-Khattab berkata:
“Sesungguhnya kami dahulu adalah kaum yang hina. Lalu Allah memuliakan kami dengan islam. Sekiranya kami mencari kemuliaan selain daripada apa yang dimuliakan oleh Allah,nescaya Allah akan menghina kami”.
(riwayat Al-Hakim, Al-Mustadrak ala Al-Sohihain,jil.1 halaman 130 no.207)



Di awal penyebaran islam dahulu,Umar Al-Khattab,Khalid Al-Walid,Abu Sufian dan lainnya antara kalangan mereka yang membenci  ajaran islam . Mereka menganggap kedatangan islam akan melenyapkan kepercayaan datuk nenek moyang mereka yang dipercayai sejak turun temurun. Kemudian di tambah lagi hasutan demi hasutan dengan cerita -cerita yang ditokok tambah membuatkan mereka bertekad untuk cuba menghancurkan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.

Namun hidayah itu milik Allah SWT. Tidak ada sesiapa yang mampu menahannya . Mereka mengakui keislaman mereka di hadapan nabi SAW. Keislaman Umar dan selainnya diketahui oleh arab musyrikin Mekkah dan seluruhnya. Arab musyrikin Mekkah bimbang dengan hal sedemikian kerana dengan keislaman mereka menjadikan agama islam semakin kuat dan mudah tersebar luas ke seluruh tanah arab pada waktu itu.

Agama islam adalah agama yang membawa rahmat sekalian alam. Bukan sahaja untuk manusia ,bahkan untuk sekalian makhluk baik yang hidup atau yang mati. Kehidupan ini memerlukan kepada rahmat ilahi lebih daripada segala-galanya. Hari ini kita dihidupkan kerana rahmatNya . Hari ini kita diberikan kesihatan kerana rahmatNya. Hari ini kita masih berkesempatan merasai nikmat-nikmat Allah kerana rahmatNya. Hari ini kita hidup dalam kebahagiaan ,pun kerana rahmatNya.Pendek kata, semuanya kerana rahmatNya. Jikalau bukan kerana rahmatNya ,maka siapalah kita?

Allah berfirman “Katakanlah kepada hamba-hambaku yang mereka itu melampaui batas terhadap diri mereka sendiri , jangan mereka putus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa(melainkan syirik) . Sesungguhnya Dia Maha pengampun lagi Maha penyayang”.  (surah Az-Zumar: 53)         




Kasih sayang Allah adalah kasih sayang yang luar biasa.  Kasih sayang Allah melebihi  kasihnya seorang ibu kepada anaknya. Kasih sayang Allah melebihi kasihnya seorang suami kepada isterinya.Tuntasnya kasih sayang Allah pasti membahagiakan dan membawa ke syurga.

 Allah ingin dan berharap  hamba-hambaNya masuk ke syurga dan menikmati segala nikmat yang ada di dalamnya. Allah sediakan syurga untuk mereka yang benar-benar mengimpikannya. Bukankah sekalian  manusia itu mengimpikan masuk syurga?

Tidaklah sama sekali, Allah menginginkan hamba-hambaNya dimasukkan ke neraka. Akan tetapi kerana kufur,lalai dan menuruti hawa nafsu menyebabkan manusia menjadi asbab dirinya dimasukkan ke dalam neraka

 Nabi telah menjelaskan perihal keindahan Syurga,

Dalam sebuah hadis qudsi riwayat Al-Bukhari, Allah swt telah berfirman yang bermaksud:

"Aku telah siapkan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh itu sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga (kelunakan bunyinya)  dan tidak pernah terlintas akan keindahan itu di dalam hati manusia." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis ini, Ibn Abbas berpendapat bahawa semua benda-benda Syurgawi jika dibandingkan dengan benda-benda duniawi, hanya sama dari segi sebutan namun berbeza dari segi hakikat.
(Tafsir Ibnu kathir/  jil.1 / halaman 81)




Kepada Pendosa...

Bagi manusia yang mengakui dirinya sebagai pendosa,jangan risau. Allah itu maha pengampun lagi maha penyayang. Yakinlah! Allah pasti akan mengampunkan kepada sesiapa yang benar-benar ingin kembalinya kepadaNya. Allah tidak pernah mengecewakan sesiapa pun akan tetapi manusia itu sendiri yang “mencipta” kekecewaan di dalam dirinya. Kembalilah kepada Allah dengan meminta ampun,kerana seluas-luas pintu yang ada di dalam islam adalah pintu keampunan.

Sabda Rasulullah S.A.W...
 “Sesungguhnya Allah itu melebarkan tangan-Nya pada waktu malam untuk mengampunkan dosa-dosa di waktu siang, dan Allah melebarkan jua tangan-Nya di waktu siang untuk mengampunkan dosa-dosa di waktu malam”.(HR Muslim)

Hadia Qudsi:
“Wahai Anak Adam! Sekiranya kamu meminta dan berharap kepadaKu,pasti Aku akan ampunkan kamu dengan apa yang telah kamu lakukan dan Aku tidak peduli”.
“Wahai Anak Adam! Walaupun dosamu mencecah langit sekalipun,kemudian kamu meminta ampun pada-Ku,nescaya Aku akan ampunkan dan Aku tidak peduli”.
“Wahai Anak Adam! Jikalau kamu datang kepadaKu dengan dosa seisi bumi ini pun,kamu bertemu Aku dalam keadaan kamu tidak mensyirikkan-Ku,nesaya Aku akan datang pula kepadamu dengan keampunan seisi bumi ini juga.(HR Tirmizi).









0 comments:

Post a Comment