Friday 15 March 2013

Ujian.






Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan, “kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang berdusta.(Surah Al-Ankabut: 2-3).

Apalah maksudnya hidup tanpa ada ujian. Ujian adalah warna dalam kehidupan. Setiap urusan yang kita tempuhi pasti  ada ujiannya. Daripada sekecil-kecil urusan hingga sebesar-besarnya,pasti akan ada ujian. Selagimana adanya kehidupan selagi itulah adanya ujian.

Ujian sifatnya mendatang. Ia akan hadir biarpun tidak diminta. Bila adanya ujian perlu adanya kesabaran. Kesabaran adalah benteng  tika menghadapinya. Jangan pula adanya ujian, adanya kebosanan. Maka ketika itu kita dikira tersalah pilihan. Kerana kebosanan adalah racun dalam kehidupan.

Kisah nabi Ibrahim mari kita jadikan teladan. Kesabaran nabi Ismail sukar jadi tandingan.  Kerana kesabarannya, ia rela jadi sembelihan. Nabi Ibrahim berkata “Wahai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku yang aku menyembelihmu. Maka bagaimana pendapatmu? Nabi Ismail menjawab “Wahai bapaku,kerjakanlah  apa yang diperintahkan kepadamu,InsyaAllah engkau akan mendapatiku dalam kalangan orang yang sabar”.(surah As-shaffat : 102)

Bila dirimu merasai kesusahan,bukanlah bererti  engkau akan susah sepanjang zaman. Bawalah bersabar dalam kesabaran. Cuba nilai susah itu dengan penuh ketenangan. Pandangan manusia selalu punya  kesilapan. Cuba lihat dari sisi pandangan Tuhan. Nescaya dirimu akan temui titik kebahagiaan.

Jangan berputus asa bila dirimu temui kegagalan. Kerana putus asa itu tidak menemui apa-apa kebaikan. Berfikirlah sejenak mencari jalan. Merealisasikan kembali usaha demi sebuah kejayaan. Percaya dan yakinlah akan datangnya kemenangan,ketika dirimu dalam “selimut” kesukaran. Hanya perlu  sedikit kesabaran. Bukankah Allah ada berfirman “sesungguhnya setiap kesukaran itu disertai kemudahan”? (surah Al-Insyirah :6)








0 comments:

Post a Comment