Saturday 1 September 2012

tuntutlah ilmu.



قال رسول الله صلى الله عليه  وسلم:" وان العالم ليستغفرله من في السموات ومن في الأرض والحيتان في جوف الماء وان فضل العالم على العابد لفضل القمر ليلة البدر على ساءر الكواكب"  ( أبو دأود وترمذي)

Telah bersabda Rasulullah: Sesungguhnya orang yang menuntut ilmu itu sentiasa didoakan oleh sekalian makhluk yang dilangit dan dibumi serta ikan-ikan yang berada di dalam air.Kelebihan ahli ilmu  berbanding  ahli ibadah seperti kelebihan bulan purnama daripada sekalian bintang-bintang yang lain.

قال رسول الله صلى الله عليه  وسلم:"ان الله وملأىكته وأهل السموات والأرضين حتى النملة فى حجرها وحتى الحوت ليصلون على معلم الناس الخير"  (الترمذى في تحفة الأحوذى)

Telah bersabda Rasulullah: Sesungguhnya telah berselawat Allah dan para malaikatNya serta penduduk langit dan bumi,dan semut-semut yang berada di sarangnya dan sekalian ikan-ikan  ke atas seorang mualim(guru) kerana dia telah mengajarkan kebaikan pada manusia yang lain.

“ilmu itu umpama cahaya” .Sifat cahaya ialah menerangi kegelapan.Menjadi orang yang berilmu merupakan  impian yang diingini bagi setiap penuntut.Tidak kira samada ilmu duniawi atau ilmu ukhrawi.Ilmu ukhrawi diibaratkan sebagai tapak manakala ilmu duniawi itu sebagai bangunannya.Bangunan tidak akan dapat didirikan tanpa ada tapak.Kalau ada tapak sahaja tanpa ada bangunan tidak membawa apa-apa.Sewajarnya seseorang penuntut itu wajib memiliki kedua-dua ilmu tersebut.

Perkembangan ilmu merupakan faktor utama kegemilangan umat islam pada masa dahulu.Ilmuwan islam terdahulu merupakan kelompok manusia yang berjaya mendominasi pelbagai ilmu.Mereka juga berjaya menguasai berbagai prinsip ilmu serta kaedah-kaedah pemahaman yang bertepatan dengan tuntutan Al-Quran dan As-Sunnah.Suasana ilmu telah mempengaruhi mereka pada waktu itu untuk menulis karya mereka ke dalam kitab-kitab warisan(kitab turath).

Hasilnya kitab-kitab warisan itu menjadi rujukan kepada generasi seterusnya sehinggalah hari ini.Sebagai contoh imam Syafie telah menghasilkan kitab Um,imam Malik menghasilkan kitab Muwattha,Ibnu Sina terkenal dengan kitab qanun fit Tibb(perubatan),Ibnu Haitham terkenal dengan kitab Al-Manadhir(teori optik),Imam Ghazali terkenal dengan kitab Ihya ulumuddin dan sebagainya.

Bersesuaian dengan hadis Rasulullah yang bermaksud “jadilah kamu orang yang berilmu,orang yang mengajar,orang yang belajar atau orang yang cintakan ilmu.Janganlah kamu jadi orang yang kelima iaitu orang yang benci kepada ilmu nescaya kamu akan binasa”(riwayat Tabrani). Meluaskan ilmu pengetahuan dapat melahirkan rasa cinta kepada ilmu.Rasa cinta itu akan melahirkan keinginan untuk mengamalnya. Mempraktikkan ilmu yang diketahui ke dalam kehidupan harian merupakan cara yang terbaik untuk menghayati keberkesanan ilmu tersebut.

Sejarah ilmuwan islam juga telah membuktikan bahawa mereka bersungguh-sungguh ketika menuntut ilmu.Sebagai contoh imam Bukhari telah menjelajah beberapa buah negara semata-mata ingin mempelajari dan mendalami ilmu hadis.Terkadang sanggup menjelajah beribu batu hanya mempelajari satu hadis sahaja.Imam Bukhari telah berkata “aku telah memasuki negara Syam,Mesir dan Jazirah Arab sebanyak dua kali.Aku telah pergi ke Basyrah sebanyak empat kali.Aku tinggal sementara di Hijaz selama enam tahun.Dan aku tidak mengira berapa kali aku masuk ke Kufah dan Baghdad bersama ahli hadis”.

Kemasyhuran ilmuwan islam terdahulu tidak dapat dinafikan.Jauh berbeza dengan orang islam pada masa kini yang terus lalai dengan dunia hiburan melampau(hedonisme) yang entah bila akan berakhirnya.

Kepentingan menghadiri majlis-majlis ilmu juga merupakan perkara yang sememangnya dituntut oleh syarak.Terdapat sepotong hadis  telah diriwayatkan oleh ibnu majah daripada Rasulullah yang berbunyi:               


 ((مَا جَلَسَ قَوْمٌ مَجْلِسًا يَذْكُرُونَ اللَّهَ فِيهِ إِلَّا حَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ وَتَغَشَّتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَتَنَزَّلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ ))
[ابن ماجه عن أبي هريرة]

 Bermaksud:“Tidak duduk sesuatu kaum dalam satu majlis yang mengingati  Allah,melainkan mereka itu dikelilingi oleh para malaikat dan diturunkan pada mereka rahmat dan Allah menurunkan juga sakinah(ketenangan) dan Allah menyebut nama-nama mereka kepada makhluk yang berada disisiNya”. Berdasarkan hadis tersebut,kita dapati bahawasanya Allah  telah memberikan kelebihan-kelebihan  pada mereka yang melazimi majlis ilmu.Hanya duduk dan mendengar sudah dikira pahalanya di sisi Allah,apatah lagi jika mengamalkannya.Sungguh pemurahnya Allah memberikan pahala kepada hambanya yang rajin dan soleh.

Oleh itu,marilah kita sama-sama  berusaha untuk menghadirkan diri ke majlis ilmu samada dalam bentuk ceramah,kuliah,kelas tafaqquh dan boleh juga mendengar melalui corong-corong radio,televisyen atau sebagainya.Terkadang mendengar ilmu yang disampaikan itu lebih mudah diingat daripada kita membaca.Moga Allah memudahkan kita menuntut dan mendalami ilmuNya.InsyaAllah

0 comments:

Post a Comment