Monday 28 January 2013

Bicaranya zikir,diamnya fikir



Seorang muslim yang baik ialah mempunyai tutur kata yang baik dan lemah lembut. Lemah- lembut yang terkandung dalamnya akan hikmah.Diselit juga dalam kata-katanya dengan peringatan yang berbentuk nasihat dan manfaat.


Mengapa perlu lemah lembut? Kerana Allah itu Maha lembut,Dia juga suka akan kelembutan.Dan kerana manusia itu fitrahnya memang suka akan kelembutan. Lihat sajalah bagaimana Rasulullah  yang sentiasa berlemah-lembut kepada sahabat-sahabatnya.Daripada kelembutan itulah akan melahirkan rasa kasih sayang yang mendalam.


Inilah contoh golongan manusia yang hebat di sisi Allah. Bilamana ia hebat di sisi Allah maka semestinya juga ia hebat di sisi manusia yang lain. Kesopanan perilaku dan keramahan tutur katanya menjadikan orang sekelilingnya sayang kepadanya.


 Adanya disayangi,  tiadanya dirindui. Dikagumi akan kesungguhan mereka menjaga tutur kata daripada perkara  sia-sia. Sebab itu ada sebahagian ahli ilmu  mengatakan “orang yang jahil  ia akan berkata-kata daripada belakang lidahnya, manakala orang yang  berilmu ia akan berkata-kata daripada belakang hatinya.”


Perumpamaan berkata-kata daripada belakang lidah ialah memperkatakan sesuatu mengikut kehendak hawa nafsunya.Berkata-kata tanpa memikirkan buruk baiknya. Suka ia menyebut-nyebut kebaikan yang telah dilakukannya kepada orang lain,padahal islam melarang sedemikian.Tidak terfikir ia akan kewujudan malaikat Raqib dan Atid yang sentiasa menghisab tutur katanya. Allah telah berfirman dalam surah Qof ayat 18 yang berbunyi  “tidak ada suatu katapun yang akan terlepas yang diucapkan melainkan terdapat di sisinya dua malaikat yang bersedia mencatatnya”.


Peribahasa melayu ada mengatakan “terlajak perahu boleh diundur balik,terlajak kata buruk padahnya” .  Peribahasa ini menyuruh kita menjaga tutur kata atau bicara daripada mengatakan perkara yang sia-sia contohnya mengumpat,merendah-rendahkan orang lain,mencaci ,berburuk sangka,mencari kesalahan orang lain dan sebagainya.Allah mencela mereka yang bersifat demikian.


Allah berfirman dalam surah hujurat ayat 12 yang berbunyi “ hai orang-orang yang beriman,jauhilah daripada banyaknya berprasangka,sesungguhnya sebahagian berprasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan mencela sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha penerima taubat lagi Maha penyayang”.


Yang si berkata rugi,yang si mendengarnya pun rugi. Bukan saja rugi di dunia,malahan turut sama rugi di akhirat sana.  Sememangnya daripada tutur kata yang tidak baik ini jugalah akan mengundang konflik antara dua pihak,menjatuhkan kehormatan seseorang,memecahbelahkan keharmonian institusi keluarga dan berleluasanya fitnah dalam masyarakat.


Akibat daripada tidak menjaga lidah juga akan mencetuskan perkelahian, pertengkaran dan lebih parah lagi tersebarnya berita-berita yang tidak ada kebenarannya di dalam masyarakat.Inilah contoh sifat orang yang hatinya berpenyakit. Allah berfirman dalam surah hujurat ayat 6 yang berbunyi “ apabila datang orang fasiq kepadamu membawa khabar berita maka hendaklah engkau teliti,agar kamu tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya, menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan itu”.


Berbeza halnya dengan orang yang berkata daripada belakang hatinya. Ia berkata dengan penuh hikmah dan kasih sayang. Niatnya berkata kerana Allah, kelembutan kata-katanya mencontohi Rasulullah, penuh dengan nilai-nilai murni,bila ia diminta memberi teguran dan nasihat ia ikhlas kerana Allah,apa yang dikatakannya sesuai dengan amalannya.Inilah contoh orang yang mantap imannya.Bicaranya adalah “zikir”, diamnya adalah “fikir”. Zikir untuk memperingati kebesaran Allah, fikir untuk mendalami dan mengagungi keluasan ilmu Allah.


Mengapa perlu berkata daripada belakang hati? Kerana hati adalah kerajaan dalam badan,jika baik hati maka baiklah juga lisannya,jika buruk hati maka buruklah juga lisannya. Berhati-hatilah dengan hati jangan sampai ia mati. Bila ia mati lisannya akan mudah mencaci. Hidupkan hati dengan mengingati Allah,moga kita beroleh kebaikan dunia dan akhirat. InsyaAllah.







0 comments:

Post a Comment