Wednesday 16 January 2013

selesai fatrah imtihan.


Alhamdulillah peperiksan semester pertama telah selesai dihadapi. Kelihatan ceria di wajah rakan-rakan Syariah tahun 4 ketika keluar dari dewan periksa. Bila ditanya macamana menjawab tadi? Ada yang tersengih-sengih,ada yang menjawab “entahlah” ada yang menjawab “bolehlah” pelbagai respon diberikan. 13 hari peperiksaan dijalankan. Bermula pada 30 Disember dan berakhir pada 13 Januari.



Menghadapi peperiksaan di musim sejuk benar-benar mencabar kekuatan fizikal dan mental setiap pelajar. Terkadang  tahap sejuknya mencecah 5°C ke bawah. Ketika menjawab soalan seolah-olah jari jemari terasa kebas. Kerap kali tangan dimasukkan ke dalam poket baju untuk menghilangkan rasa sejuk. Ada juga yang menggosok-gosokkan tangan di baju dan seluar untuk menghilangkan rasa sejuk di tangan. Ada juga yang berpeluk tubuh. Pelbagai cara digunakan untuk mencari sedikit rasa panas di tangan. Bagi mereka yang mempunyai sarung tangan tidaklah menghadapi masalah ketika menjawab kertas periksa.



Begitulah rutin tahunan bagi penuntut Azhar di bumi Anbiya ini,menghadapi peperiksaan di musim sejuk merupakan pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan. Walaupun keadaan situasi yang agak mencabar akan tetapi itu bukanlah sebagai penghalang bagi pelajar itu untuk meraih sebuah kejayaan. Selagimana namanya pelajar, selagi itulah dia akan menghadapi medan peperiksaan untuk diuji. Kata imam Syafie “bilamana kamu tidak  tahan lelahnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan”.



 Begitu jugalah bagi manusia yang bergelar hamba. Ujian dan cabaran mengajar erti sebuah kehidupan. Memaknakan sebuah kehidupan melalui ujian-ujianNya untuk menjadi mukmin lagi muttaqin. Adakah kita patut lari dari ujian Allah? Jawabnya tidak! Kita tidak sepatutnya lari dari ujian Allah . Yakinlah,di sebalik ujian itu terdapat nikmat yang Allah ingin beri kepada kita. Bersabarlah. Belajarlah daripada mereka terdahulu yang telah berjaya menghadapi ujian-ujian Allah. Janganlah kita berduka apabila Allah beri kita hujan di tengah hari,kerana hakikatnya Allah nak beri kita pelangi di petang hari. Wallahu a’lam.






0 comments:

Post a Comment