Sunday 8 July 2012

Imam Abdullah bin Al-Mubarak.


Firman Allah "Sesungguhnya yang takutkan Allah daripada kalangan hamba-hambanya adalah Ulama" (Al-fathir 28).  Nama sebenarnya ialah Abdullah bin Al-Mubarak bin Wadih.Digelar sebagai imam al-hafiz,fakhrul mujahidin syeikh islam,antara ulama yang sangat alim di zamannya.Nama lain baginya ialah ibnu Mubarak.Ayahndanya bernama Abu Abdurrahman Al-Maruzi,At-Turki,berasal daripada negara Turki.Ibunya bernama Al-khuwarizmi.


Beliau dilahirkan di sebuah kota yang bernama Kota Meru.Tercatat di dalam kitab Mu'jam Al-Buldan(12/5) dan Al-Ansab(285/4) bahawa jarak kota itu dengan Naisabur sejauh 70 batu.Dilahirkan pada tahun 118M,sepertimana yang dinaqolkan oleh imam Ahmad bin Hanbal dan Abu hafs di dalam kitab Tarikh Al-Baghdadi(168/1).Ada sebahagian ulama berpandangan bahawa Abdullah Ibnu Mubarak telah lahir pada tahun 119M.


Abdullah bin Al Mubarak telah menuntut ilmu ketika berumur 20 tahun.Antara ilmu-ilmu yang dipelajarinya ialah ilmu qiraat,ilmu fikh,ilmu hadis,ilmu lughah dan lain-lainnya.Salah seorang anak murid Sufyan Uyainah yang masyhur.Sufyan Uyainah ialah antara ulama yang terhebat pada waktu itu.Ibnu Mubarak daripada kalangan tabi' tabien yang pertengahan(tobaqot yang ke-8).


Seorang yang rajin berusaha dan gigih dalam menuntut ilmu Allah taala.Bilangan gurunya terlalu ramai.Ter dapat sebahagian ulama telah mendengar daripada ibnu Mubarak sendiri bahawa dia telah menuntut ilmu bersama para ulama lebih 4000 orang.1000 orang sahaja yang diriwayatkannya.Tidaklah kita merasa pelik sekiranya beliau mempunyai anak murid yang paling ramai.Antara anak muridnya yang masyhur ialah Ma'mar bin Rasyid,Abu Ishak Al-Fazari,Fudhail bin I'yadh,Abu Usamah dan sebilangan ulama yang sezaman dengannya.


Beliau telah meninggalkan kampung halaman untuk menuntut ilmu ke negara Syam,Haramain,Iraq,dan Jazirah. Imam Ahmad bin Hanbal (tuan kitab musnad Ahmad) telah memuji kepada Ibnu Mubarak:    "Sewaktu di zamannya tidak ada lagi yang setanding dengan Abdullah bin Al-Mubarak  yang mempunyai kegigihan dalam menuntut ilmu.Beliau telah pergi menuntut ilmu ke negara Yaman,Mesir,Syam,Basrah dan Kufah.Dalam masa yang sama juga,dia telah menulis dan meriwayatkan sebahagian ilmu-ilmu itu.Ibnu Mubarak telah bersungguh-sungguh dan berjaya mengumpulkan ilmu-ilmu tersebut.Tidak ada sepatah pun luput daripadanya ketika mana ia meriwayatkan.Ibnu mubarak juga seorang yang hebat dalam ilmu hadis serta penghafalannya".


Berpegang kuat dengan hadis dan sunnah rasulullah sollahualaihi wasalam.Dia juga bersungguh-sungguh mendalaminya.Berkata sebahagian ulama "sekiranya kamu berselisih tentang periwayatan hadis maka hendaklah kamu mencari tabibnya(Abdullah ibnu Mubarak).Kehebatannya juga tidak dinafikan oleh sebahagian ulama jarh wa ta'dil contohnya Ali ibnu Al-Madini dan selainnya.


Ibnu Mubarak juga seorang yang tekun dalam menentukan hadis berdasarkan sanadnya.Dia yakin dengan menghukum sanadnya dapat menentukan martabat sesebuah hadis tersebut.Ini bertepatan dengan kata-kata nya yang berbunyi "sesungguhnya urusan isnad itu merupakan sebahagian daripada urusan agama".Abu Usamah telah menggelar ibnu Mubarak sebagai Amirul Mukminin pada ummah ini kerana kehebatannya dalam ilmu periwayatan hadis.


Ibnu Mubarak juga merupakan salah seorang ahli fuqoha bagi ummah ini.Imam Malik(tuan kitab Muwattha) telah mengakui kefakihannya.Telah berkata Imam Malik bahawa dia(Ibnu Mubarak) merupakan seorang yang fakih di negeri Khurasan.


Beliau berpegang dangan akidah yang sohih iaitu akidah salafus soleh. Dia mengatakan bahawasanya Al-Quran itu ialah kalam Allah,bukan makhluk. Meyakini bahawa Allah itu mempunyai sifat-sifatnya.Pandangan ini sekaligus menolak pandangan daripada puak dholalah seperti puak Murjiah,Qodariah, Jahmiah dan selainnya.Sepertimana yang dinaqolkan oleh Ahmad bin Yunus bahawa dia telah mendengar daripada Ibnu Mubarak yang telah membaca ayat-ayat suci Al-quran,kemudian Ibnu mubarak telah mengatakan kepadanya "sesiapa yang mengatakan bahawa Al-Quran ini adalah makhluk maka sesungguhnya dia telah kufur kepada Allah subhanahu wa taala".


Adalah menjadi kebiasaan para ulama itu mempunyai penulisan atau karangan yang bermanfaat untuk penuntut-penuntut ilmu Allah ini.Ibnu Mubarak juga mempunyai beberapa penulisan contohnya kitab Bir wa Silah,Tafsir Al-quran, Zuhud wa Raqoiq,Jihad,kitab Tarikh,Riqoq Al-Fatawa,Kitab Arbain fil Hadis dan  selainnya.


Ibnu Mubarak telah menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun 181M di bulan Ramadhon.Wafat di Buhait.Telah berkata imam Az-Zahabi "sesungguhnya hari ini telah mati seorang ketua pada sekalian ulama". Moga kita mengikut jejak langkah ulama-ulama salafus soleh yang kita sayangi.








0 comments:

Post a Comment