Monday, 28 October 2013
Friday, 18 October 2013
Islam fitrah insani.
Islam adalah cara hidup ad-deen yang datang daripada Allah . Terdiri daripada 3 elemen penting iaitu akidah,syariah dan akhlak. Perkataan islam berasal daripada perkataan “salama” yang membawa maksud selamat dan sejahtera. Lawan bagi sejahtera ialah “halak” yang bermaksud rosak dan binasa.
Mulianya sesuatu kaum kerana kekuatan mereka berpegang kuat
dengan ajaran islam. Mereka memastikan sebuah kehidupan
itu dipandu berpaksikan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Sejarah
telah membuktikan, Rasulullah S.A.W dan
para sahabat telah berjaya membawa islam ke seluruh tanah arab. Bukan sahaja memperkenalkan islam
tetapi menghayati intipati ajaran islam itu ke dalam jiwa-jiwa manusia pada waktu itu.
Sabda Rasulullah “Sebaik-baik kurun ialah kurunku,kemudian
kurun seterusnya dan kurun seterusnya...”
Langkah pertama,mereka berjaya memadamkan kepercayaan jahiliah yang telah lama berakar umbi di
kalangan masyarakat arab pada waktu itu. Mereka juga berjaya memadamkan
unsur-unsur assobiah(perkauman), penganiayaan,kezaliman dan diskriminasi antara manusia yang berkulit putih dengan yang
hitam,antara golongan kaya dengan yang miskin,antara golongan atasan dengan
yang bawahan,antara golongan yang memimpin dengan yang dipimpin dan antara
golongan hamba dengan yang merdeka.Ini membuktikan agama islam itu mengutamakan
keadilan kepada seluruh lapisan manusia .
Ajaran Islam bukanlah
mengikat tetapi membebaskan. Membebaskan daripada belenggu kejahilan dan
taklid buta kepada berpengetahuan dan matang dalam berfikir. Selagimana cara berfikir itu dipagari dengan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah.
Kejayaan salafus soleh terdahulu telah membawa perubahan
yang besar dari segi ilmu pengetahuan dan aspek yang lain. Persoalan dan
permasalahan yang timbul, dijawab dan dirungkai oleh ilmuwan islam yang hebat
dalam berfikir berlandaskan nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah. Islam adalah agama
yang menitikberatkan ilmu pengetahuan.
Terkadang berlaku juga perselisihan pendapat atau perbezaan pandangan
pada sesuatu perkara. Mereka berusaha menangani
perkara tersebut dengan cara yang baik ,mengemukakan bukti serta hujah yang
kukuh,penuh dengan adab yang sopan dan
saling hormat menghormati di antara kedua-dua pihak yang berselisih .
Islam itu juga kaya
ilmu dan akhlak . Maka adalah menjadi suatu kemestian kedua-duanya disepadukan dan diselarikan agar tidak berlaku
kepincangan kepada mereka yang ingin memahami dan mempelajarinya.
Umar Al-Khattab berkata:
“Sesungguhnya kami dahulu adalah kaum yang hina. Lalu Allah
memuliakan kami dengan islam. Sekiranya kami mencari kemuliaan selain daripada
apa yang dimuliakan oleh Allah,nescaya Allah akan menghina kami”.
(riwayat Al-Hakim, Al-Mustadrak ala Al-Sohihain,jil.1
halaman 130 no.207)
Di awal penyebaran islam dahulu,Umar Al-Khattab,Khalid
Al-Walid,Abu Sufian dan lainnya antara kalangan mereka yang membenci ajaran islam . Mereka menganggap kedatangan
islam akan melenyapkan kepercayaan datuk nenek moyang mereka yang dipercayai sejak
turun temurun. Kemudian di tambah lagi hasutan demi hasutan dengan cerita
-cerita yang ditokok tambah membuatkan mereka bertekad untuk cuba menghancurkan
ajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.
Namun hidayah itu milik Allah SWT. Tidak ada sesiapa yang
mampu menahannya . Mereka mengakui keislaman mereka di hadapan nabi SAW.
Keislaman Umar dan selainnya diketahui oleh arab musyrikin Mekkah dan
seluruhnya. Arab musyrikin Mekkah bimbang dengan hal sedemikian kerana dengan
keislaman mereka menjadikan agama islam semakin kuat dan mudah tersebar luas ke
seluruh tanah arab pada waktu itu.
Agama islam adalah agama yang membawa rahmat sekalian alam.
Bukan sahaja untuk manusia ,bahkan untuk sekalian makhluk baik yang hidup atau
yang mati. Kehidupan ini memerlukan kepada rahmat ilahi lebih daripada
segala-galanya. Hari ini kita dihidupkan kerana rahmatNya . Hari ini kita
diberikan kesihatan kerana rahmatNya. Hari ini kita masih berkesempatan merasai
nikmat-nikmat Allah kerana rahmatNya. Hari ini kita hidup dalam kebahagiaan
,pun kerana rahmatNya.Pendek kata, semuanya kerana rahmatNya. Jikalau bukan
kerana rahmatNya ,maka siapalah kita?
Allah berfirman “Katakanlah kepada hamba-hambaku yang mereka
itu melampaui batas terhadap diri mereka sendiri , jangan mereka putus asa
daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa(melainkan
syirik) . Sesungguhnya Dia Maha pengampun lagi Maha penyayang”. (surah Az-Zumar: 53)
Kasih sayang Allah adalah kasih sayang yang luar biasa. Kasih sayang Allah melebihi kasihnya seorang ibu kepada anaknya. Kasih sayang
Allah melebihi kasihnya seorang suami kepada isterinya.Tuntasnya kasih sayang
Allah pasti membahagiakan dan membawa ke syurga.
Allah ingin dan
berharap hamba-hambaNya masuk ke syurga
dan menikmati segala nikmat yang ada di dalamnya. Allah sediakan syurga untuk
mereka yang benar-benar mengimpikannya. Bukankah sekalian manusia itu mengimpikan masuk syurga?
Tidaklah sama sekali, Allah menginginkan hamba-hambaNya
dimasukkan ke neraka. Akan tetapi kerana kufur,lalai dan menuruti hawa nafsu
menyebabkan manusia menjadi asbab dirinya dimasukkan ke dalam neraka
Nabi telah
menjelaskan perihal keindahan Syurga,
Dalam sebuah hadis qudsi riwayat Al-Bukhari, Allah swt telah
berfirman yang bermaksud:
"Aku telah siapkan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh itu sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga (kelunakan bunyinya) dan tidak pernah terlintas akan keindahan itu di dalam hati manusia." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
"Aku telah siapkan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh itu sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga (kelunakan bunyinya) dan tidak pernah terlintas akan keindahan itu di dalam hati manusia." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis ini, Ibn Abbas berpendapat bahawa semua
benda-benda Syurgawi jika dibandingkan dengan benda-benda duniawi, hanya sama
dari segi sebutan namun berbeza dari segi hakikat.
(Tafsir Ibnu kathir/
jil.1 / halaman 81)
Kepada Pendosa...
Bagi manusia yang mengakui dirinya sebagai pendosa,jangan
risau. Allah itu maha pengampun lagi maha penyayang. Yakinlah! Allah pasti akan
mengampunkan kepada sesiapa yang benar-benar ingin kembalinya kepadaNya. Allah
tidak pernah mengecewakan sesiapa pun akan tetapi manusia itu sendiri yang “mencipta”
kekecewaan di dalam dirinya. Kembalilah kepada Allah dengan meminta ampun,kerana
seluas-luas pintu yang ada di dalam islam adalah pintu keampunan.
Sabda Rasulullah S.A.W...
“Sesungguhnya Allah
itu melebarkan tangan-Nya pada waktu malam untuk mengampunkan dosa-dosa di
waktu siang, dan Allah melebarkan jua tangan-Nya di waktu siang untuk
mengampunkan dosa-dosa di waktu malam”.(HR Muslim)
Hadia Qudsi:
“Wahai Anak Adam! Sekiranya kamu meminta dan berharap
kepadaKu,pasti Aku akan ampunkan kamu dengan apa yang telah kamu lakukan dan
Aku tidak peduli”.
“Wahai Anak Adam! Walaupun dosamu mencecah langit
sekalipun,kemudian kamu meminta ampun pada-Ku,nescaya Aku akan ampunkan dan Aku
tidak peduli”.
“Wahai Anak Adam! Jikalau kamu datang kepadaKu dengan dosa
seisi bumi ini pun,kamu bertemu Aku dalam keadaan kamu tidak
mensyirikkan-Ku,nesaya Aku akan datang pula kepadamu dengan keampunan seisi
bumi ini juga.(HR Tirmizi).
Monday, 9 September 2013
Sabbit Qalbi ala Dinik.
"Kehidupan di dunia itu tidak ada yang tetap
yang tetap itu ialah berubah
kerana yang berubah
itulah ketetapan yang ada dalam dunia.
Panas terik!
Benar
Nanti akan hujan.
Hujan lebat!
Benar
Nanti akan panas.
Di suatu tempat,hujan yang lebat timbul banjir
Iya! banjir itu tidak tiap-tiap hari nanti dia akan kering
juga
Di laut begitu juga,ada pasang naik tergenang sampai ke atas
Iya! Esok pagi ia akan kering
Daripada pasang ke surut
dan pasang lagi.
Begitulah kehidupan
di dunia ini
Harus kita meyakininya
Agar kita tidak terumbang-ambing dalam kehidupan ini
Andai kita mula terumbang-ambing
Terangnya hari,kita pula merasa gelap(gelapnya jiwa)
Hari panas terik,kita pula berhujan
Di hujani oleh keringat kita sendiri
Hari ini engkau rasa derita dan susah
Benar engkau rasa derita dan susah
Tetapi derita dan susah bukanlah tiap-tiap hari
Pasti di suatu hari nanti Dia memberi engkau kesenangan dan
kebahagiaan
Kerana itu
Jagalah hatimu!
Jika ia baik,maka baiklah seluruhnya
Jika ia buruk,maka buruklah seluruhnya”
Wahai pembolak balik tiap-tiap hati
Tetapkan hati kami
padaMu…Amin
Buya Hamka
Thursday, 27 June 2013
Cuti-cuti
Periksa berlalu pergi…
Alhamdulillah imtihan fasa kedua telah selamat melabuhkan
tirainya.Hampir sebulan lebih imtihan dijalankan. Walaupun telah
berlalu,ternyata ianya masih segar diingatan.Bermula 25 Mei 2013 dan berakhir
pada 17 Jun 2013.Diakhiri dengan madah fiqh syafie.
Fiqh syafie atau nama panjangnya Fiqh mazhab syafie
merupakan madah khusus bagi pelajar yang bermazhab syafie. Fikh Syafie diasaskan
oleh imam yang mulia Al-Imam As-Syafie r.anhu(meninggal 204H).Terhimpun di
dalamnya pendapat-pendapat Imam As-Syafie sendiri dan para pengikut mazhabnya.Imam
As-Syafie adalah dikalangan ahli fuqoha dan ahli muhaddisin yang masyhur.
Kehebatannya tidak dapat ditandingi pada zaman itu.Mereka
yang mengenalinya pasti akan kagum dan memuji kepintaran Imam As-Syafie.
Muhammad bin Idris As-Syafie adalah nama sebenarnya.Dia dibesarkan dalam
keadaan yatim dan kehidupannya yang
serba kekurangan banyak mempengaruhi dirinya
untuk bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu.
Berehlah mencari ilmu merupakan perkara yang disukainya.Sanggup
bermusafir beribu batu semata-mata ingin mendalami ilmu dan mendengar hadis-hadis
Nabi s.a.w.Sifat zuhud, tawaduk dan lemah -lembutnya membuatkan orang ramai sangat menyayanginya.Dia juga digelar mujaddid(tokoh pembaharuan) pada zamannya.
Berkata Hamid bin Zanjawiyyah: Aku mendengar Imam Ahmad Bin
Hanbal meriwayatkan hadis Nabi s.a.w yang berbunyi “sesungguhnya Allah akan
mengurniakan kepada ahli agamanya pada tiap-tiap seratus tahun, dengan
kewujudan seorang laki-laki daripada kalangan ahli keluargaku untuk menerangkan
urusan agama kepada mereka”.
Imam Ahmad berkata :Aku melihat seratus tahun pertama Khalifah Omar Bin
Abdul Aziz dan seratus tahun kedua ialah Imam Muhammad bin Idris As-Syafie
r.anhu.
Sumber:
(Kitab Hilyatul Awliya, Darul Hadis ,jilid ke-7/238)
Dinilai sohih dalam kitab (Al-Mustadrak :8592,8593) (sunan
Abu Daud :4291) (Mu’jam Awsat :6527).
Mempelajari madah fiqh syafie bukanlah menjadikan seseorang itu taksub kepada pendapat mazhab
syafie sahaja dan menolak pendapat mazhab lain.Tujuan mempelajarinya untuk mengetahui
metode atau cara ulama As-Syafieyyah menyelesaikan isu permasalahan fiqh yang
timbul.Mereka juga mengeluarkan pendapat atau fatwa berdasarkan pemahaman mereka pada ayat -ayat
Al-Quran dan Al-Hadis yang bersifat zonni.Permasalahan disini hanya menjurus
kepada perkara furuiyyah(perkara cabang) bukannya perkara usuliyyah(perkara
asas).
Contoh perkara furuiyyah yang boleh disertakan disini ialah
hukum perlaksanaan wudu’.Ulama sepakat mengatakan bahawa berwudu’ itu adalah
wajib.Akan tetapi perlaksanaanya samada wajib tertib atau tidak,di situ
berlakunya perselisihan pendapat antara ulama.Ada yang mengatakan wajib tertib
dan ada yang mengatakan tidak wajib tertib.Kedua-dua pendapat ini mempunyai
dalil dan hujah tersendiri.Ianya masih diterima kerana dua sebab.Sebab pertama
ianya berlaku masih dalam kerangka
perkara-perkara khilafiah.Sebab kedua ianya diterima kerana dalil yang
digunakan bersifat zonni.
Ilmu Fiqh ialah suatu ilmu yang memerlukan kepada dalil dan
pencerahan hujah.Pemahaman yang mendalam pada dalil akan menghasilkan hujah
yang baik dan mapan.Ilmu fiqh juga antara ilmu yang sebanding dengan ilmu-ilmu
yang lain contohnya ilmu hadis ,ilmu tafsir,ilmu usul fiqh dan ilmu lugah(ilmu
bahasa arab).
Mempelajarinya juga akan membawa pemikiran pelajar kepada bersifat
keterbukaan dan bertoleransi dalam menerima perbezaan pendapat.Ianya juga
bersifat fleksibel dan anjal dalam penetapan hukum sesuai dengan kehendak
syarak dan peredaran semasa.Masalah kejumudan dan kerumitan tidak akan timbul
sekiranya pelajar itu mempelajari ilmu ini dengan baik sekaligus memudahkan
pelajar itu mengamalkan segala tuntutan
agama dengan tepat dan benar.
Berkata imam As-Syafie,sebagaimana yang diriwayatkan oleh
Al-khatib Al-Baghdadi di dalam kitabnya Al-Faqih wal Mutafaqqih (1/59):
لَا يَحِلُّ لِأَحَدٍ أَنْ يُفْتِيَ فِي دِينِ اللَّهِ إلَّا رَجُلًا عَارِفًا بِكِتَابِ اللَّهِ بِنَاسِخِهِ وَمَنْسُوخِهِ ، وَمُحْكَمِهِ وَمُتَشَابِهِهِ ، وَتَأْوِيلِهِ وَتَنْزِيلِهِ ، وَمَكِّيِّهِ وَمَدَنِيِّهِ ، وَمَا أُرِيدَ بِهِ ، وَيَكُونُ بَعْدَ ذَلِكَ بَصِيرًا بِحَدِيثِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَبِالنَّاسِخِ وَالْمَنْسُوخِ ، وَيَعْرِفُ مِنْ الْحَدِيثِ مِثْلَ مَا عَرَفَ مِنْ الْقُرْآنِ ، وَيَكُونُ بَصِيرًا بِاللُّغَةِ ، بَصِيرًا بِالشِّعْرِ وَمَا يَحْتَاجُ إلَيْهِ لِلسُّنَّةِ وَالْقُرْآنِ ، وَيَسْتَعْمِلُ هَذَا مَعَ الْإِنْصَافِ ، وَيَكُونُ بَعْدَ هَذَا مُشْرِفًا عَلَى اخْتِلَافِ أَهْلِ الْأَمْصَارِ ، وَتَكُونُ لَهُ قَرِيحَةٌ بَعْدَ هَذَا ، فَإِذَا كَانَ هَكَذَا فَلَهُ أَنْ يَتَكَلَّمَ وَيُفْتِيَ فِي الْحَلَالِ وَالْحَرَامِ ، وَإِذَا لَمْ يَكُنْ هَكَذَا فَلَيْسَ لَهُ أَنْ يُفْتِيَ .
“Tidak halal bagi seseorang berfatwa di dalam agama Allah
kecuali seseorang yang menguasai Kitab Allah,nasikh dan mansukhnya,muhkam dan
mutasyabihnya,takwil dan tanzilnya,makki dan madaninya,dan apa-apa yang
dimaksudkan dengannya. Setelah itu,ia juga wajib menguasai hadis Rasulullah
s.a.w,nasikh dan mansukhnya,dan ia menguasai hadis sepertimana ia menguasai
Al-Quran. Ia juga mesti menguasai ilmu bahasa,menguasai syair-syair Arab yang
diperlukan dalam memahami Al-Quran dan As-Sunnah.Dan menggunakan ilmu ini
dengan penuh keinsafan.Setelah itu,ia juga mesti mengetahui ikhtilaf para ulama
dari berbagai begeri,ia juga harus memiliki pemikiran yang tajam.Apabila orang
seperti ini,maka dipersilakan untuknya berbicara dan berfatwa di dalam perkara
halal dan haram.Jika tidak seperti itu,maka tidak boleh baginya berfatwa”.
Cuti yang berharga.
Alhamdulillah setelah selesainya imtihan maka cuti musim panas
pun bermula. Cuti fasa kedua adalah cuti yang panjang. Bagi mereka yang punya
aktiviti dan program,maka waktu cutilah waktu yang ditunggu-tunggu.
Musim cuti akan bernilai dan berharga bagi mereka yang
benar-benar menghargainya. Gunakanlah masa yang ada sebaik-baiknya. Beruntunglah
bagi mereka yang bijak mengisinya dan rugilah bagi mereka yang mengabaikannya.
Rasulullah ada mengingatkan kita “Dua nikmat yang sering
kebanyakkan manusia terlepas pandang dengannya:nikmat sihat dan nikmat
LAPANG”.(HR Tirmizi : 2304)
Alangkah baiknya di
waktu cuti ini bagi mereka yang tidak ke mana-mana,banyakkanlah membaca dan
mengulangkaji ilmu-ilmu yang telah
dipelajari.
Kalau di waktu
periksa dulu kita antara orang yang rajin membaca,takkan waktu cuti yang luang ini kita malas untuk
membaca.
Bukankah semakin banyak kita membaca semakin banyak perkara
baru yang boleh kita ketahui?
Bukankah islam itu agama membaca?
Firman Allah: “katakanlah wahai Muhammad : Seandainya
kesemua lautan itu menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Rabbku,sudah
tentu akan habis kekeringan air laut itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah
Rabbku,sekalipun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya
sebagai bantuan,maka ia akan habis juga” (surah Al-Kahfi: 109)
Waallahu a’lam.
Friday, 14 June 2013
“kami bersabar wahai ayah”
Sezuhud-zuhud pemerintah,sebaik-baik pekerja,
semoga Allah merahmatimu khalifah Omar Abdul Aziz …
Diceritakan bahawa anak khalifah Omar Abdul Aziz telah
menangis teresak-esak, sedang mereka masih kecil. Pada hari itu juga merupakan hari perayaan bagi kaum muslimin.
Omar bertanya: Mengapa kamu menangis wahai anakku?
Anaknya menjawab: Kesemua
anak-anak lain mengenakan baju baru,
sedang kami adalah anak amirul mu’minin masih berpakaian yang lama…
Maka Omar pun timbul rasa
sedih lalu ia pergi ke gudang Baitulmal,seraya berkata kepada pekerja gudang
itu : Adakah kamu izinkan aku untuk meminjam wang gaji bagi bulan yang akan
datang?
Lalu bertanya pekerja gudang itu kepadanya : Mengapa tiba-tiba engkau meminjam wang amirul
mu’minin?
Omar pun menceritakan tujuannya meminjam wang itu untuk
membelikan baju baru untuk anak-anaknya.
Maka pekerja tadi berkata: Tidak ada halangan bagiku wahai
amirul mu’minin untuk meminjamkan wang itu kepadamu akan tetapi dengan syarat…
Omar bertanya: Apa syaratnya?
Pekerja itu berkata: Adakah engkau wahai amirul mu’minin
dapat menjamin akan diriku KEKAL HIDUP sehingga bulan depan untuk ku mengutip wang
pinjaman yang telah engkau pinjam dulu itu?
Omar tersentak lalu terus meninggalkan pekerja itu dan
kembali ke rumahnya.
Kemudian anak-anaknya bertanya: Bagaimana wahai ayah,apa
yang telah ayah lakukan?
Omar berkata: Adakah kamu mampu bersabar,lalu kita semua
dimasukkan ke SyurgaNya atau kamu tidak bersabar menyebabkan ayahmu ini di
humban ke Neraka?
Anak-anaknya menjawab: Kami bersabar wahai ayah.
Tuesday, 14 May 2013
mood exam
Bahang periksa makin menghampiri. Persediaan pun masih belum mancukupi.Tanggal 21 Mei ini akan bermulanya ujian syafawi Al-quran(hafazan),27 Mei pula bermulanya peperiksaan bagi subjek-subjek seterusnya dan berakhir pada 17 Jun nanti. Hanya tinggal 6 hari saja lagi untuk mentelaah dan mengulangkaji. Masa yang semakin suntuk ini terlalu berharga,harap-harap ianya tidak dicuaikan. Ya Allah,mudahkan kami dalam menuntut ilmu ini,mudahkan kami dalam urusan ini...Amin
Firman Allah taala : “ Dan tidaklah betul dan elok orang-orang yang beriman keluar semuanya pergi berperang,oleh itu hendaklah keluar sebahagian sahaja dari setip-tiap puak diantara mereka,supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama,dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya yang keluar berjuang apabila orang-orang itu kembali kepada mereka,mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah.)( at-Taubah:122)
Daripada Abu Darda berkata, aku telah mendengar Rasulullah bersabda : "Barangsiapa menjalani jalan yang padanya ada ilmu,maka ia telah menjalani suatu jalan daripada jalan-jalan Syurga. Sesungguhnya para Malaikat menghamparkan sayapnya kerana redha kepada mereka yang menuntut ilmu...riwayat Abu Daud (3641).
Rabbuna yusahhilna bittaufiq wan najah fil imtihan..insyaAllah..Doa-doakan kami..(^_^)
Firman Allah taala : “ Dan tidaklah betul dan elok orang-orang yang beriman keluar semuanya pergi berperang,oleh itu hendaklah keluar sebahagian sahaja dari setip-tiap puak diantara mereka,supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama,dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya yang keluar berjuang apabila orang-orang itu kembali kepada mereka,mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah.)( at-Taubah:122)
Daripada Abu Darda berkata, aku telah mendengar Rasulullah bersabda : "Barangsiapa menjalani jalan yang padanya ada ilmu,maka ia telah menjalani suatu jalan daripada jalan-jalan Syurga. Sesungguhnya para Malaikat menghamparkan sayapnya kerana redha kepada mereka yang menuntut ilmu...riwayat Abu Daud (3641).
Rabbuna yusahhilna bittaufiq wan najah fil imtihan..insyaAllah..Doa-doakan kami..(^_^)
Subscribe to:
Posts (Atom)