Friday, 15 March 2013

Ujian.

0 comments





Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan, “kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang berdusta.(Surah Al-Ankabut: 2-3).

Apalah maksudnya hidup tanpa ada ujian. Ujian adalah warna dalam kehidupan. Setiap urusan yang kita tempuhi pasti  ada ujiannya. Daripada sekecil-kecil urusan hingga sebesar-besarnya,pasti akan ada ujian. Selagimana adanya kehidupan selagi itulah adanya ujian.

Ujian sifatnya mendatang. Ia akan hadir biarpun tidak diminta. Bila adanya ujian perlu adanya kesabaran. Kesabaran adalah benteng  tika menghadapinya. Jangan pula adanya ujian, adanya kebosanan. Maka ketika itu kita dikira tersalah pilihan. Kerana kebosanan adalah racun dalam kehidupan.

Kisah nabi Ibrahim mari kita jadikan teladan. Kesabaran nabi Ismail sukar jadi tandingan.  Kerana kesabarannya, ia rela jadi sembelihan. Nabi Ibrahim berkata “Wahai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku yang aku menyembelihmu. Maka bagaimana pendapatmu? Nabi Ismail menjawab “Wahai bapaku,kerjakanlah  apa yang diperintahkan kepadamu,InsyaAllah engkau akan mendapatiku dalam kalangan orang yang sabar”.(surah As-shaffat : 102)

Bila dirimu merasai kesusahan,bukanlah bererti  engkau akan susah sepanjang zaman. Bawalah bersabar dalam kesabaran. Cuba nilai susah itu dengan penuh ketenangan. Pandangan manusia selalu punya  kesilapan. Cuba lihat dari sisi pandangan Tuhan. Nescaya dirimu akan temui titik kebahagiaan.

Jangan berputus asa bila dirimu temui kegagalan. Kerana putus asa itu tidak menemui apa-apa kebaikan. Berfikirlah sejenak mencari jalan. Merealisasikan kembali usaha demi sebuah kejayaan. Percaya dan yakinlah akan datangnya kemenangan,ketika dirimu dalam “selimut” kesukaran. Hanya perlu  sedikit kesabaran. Bukankah Allah ada berfirman “sesungguhnya setiap kesukaran itu disertai kemudahan”? (surah Al-Insyirah :6)








Friday, 8 March 2013

0 comments






Tuesday, 26 February 2013

Tujuan.

0 comments

Utamakan tujuan.

Tujuan dalam bahasa arab ialah “hadaf” atau “qosad”. Ditentukan sesuatu pekerjaan itu samada ia baik atau sebaliknya perlu merujuk kepada kepada tujuannya. Jika baik tujuannya maka baiklah pekerjaannya,jika buruk tujuannya maka buruklah pekerjaannya. Tujuan  disinonimkan juga dengan niat.

Tujuan sebenar bagi seorang muslim  ialah inginkan kebahagiaan di akhirat. Yang dimaksudkan akhirat itu ialah Syurga Allah swt. Dua syarat utama untuk ke syurga Allah ialah punya iman serta beramal soleh. Di syurga semuanya indah belaka. Segala-galanya indah. Ketika di dunia ia miskin,di sana ia akan kaya raya. Ketika di dunia ia susah di sana ia akan senang lenang. Ketika di dunia ia derita, di sana ia hidup dengan kemewahan.

Rasulullah ada menceritakan perihal manusia yang pernah merasa derita di dunia akan tetapi sebaik saja ia memasuki  dan merasai kenikmatan syurga Allah, ia terus terlupa akan kisah deritanya.

Sepertimana yang tercatat di dalam kitab sohih muslim,bahawa Rasulullah telah bersabda : Pada hari kiamat nanti,Allah datangkan manusia yang paling nikmat dalam hidupnya ,segala-galanya nikmat. Allah ambil ia lalu Allah celupkan ia ke dalam neraka dengan sekali celupan. Kemudian Allah berkata kepadanya: Wahai anak Adam,adakah kamu pernah merasa nikmat dalam hidup ini? Ia menjawab: Tidak ya Allah,aku tidak pernah sekalipun merasa nikmat dalam hidup ini.
 Kerana azab dan siksanya dicelup dalam neraka ia terlupa kisah nikmat dulunya.

Kemudian Allah datangkan pula manusia yang paling derita hidupnya di dunia,segala-galanya derita. Daripada kalangan ahli syurga. Kemudian Allah ambil ia lalu Allah celupkan ia ke dalam syurga  dengan sekali celupan. Kemudian Allah berkata kepadanya : Wahai anak Adam ,adakah engkau pernah merasai derita sebelum ini? Lantas ia menjawab: Sungguh ya Allah, aku tak pernah rasa derita pun dalam hidup ini.
Kerana nikmatnya syurga,hanya sekali celupan saja di syurga,ia lupa kisah deritanya.(7019)

Meletakkan tujuan yang betul dapat menentukan matlamat kehidupan yang tepat,lurus dan menjurus. Tujuan seringkali digandingkan dengan matlamat. Matlamat merupakan sumber kekuatan kepada insan untuk mendorong kepada sebuah kejayaan. Dengan membesarkan matlamat,halangan dan rintangan akan menjadi kecil. Seterusnya memudahkan ia untuk menuju kepada kejayaan.


Tenangnya hati.

Melaksanakan sesuatu kerana inginkan keredaan Allah akan melahirkan rasa ketenangan dalam hatinya. Ketenangan tidak dapat dilihat,tetapi dapat dirasa. Sifatnya maknawi bukannya hissi. Tidak ada perkara yang paling berharga di dunia ini melainkan adanya ketenangan hati.Bukan semua manusia bisa memilikinya,hanya mereka yang akrab kepada Sang Pencipta sajalah yang layak memilikinya.Merekalah insan pilihan Allah.Bila insan menyerahkan segala urusannya kepada Allah,maka ia akan merasai manisnya ketenangan.

Imam Tirmizi meriwayatkan hadis di dalam kitab Jami’nya,bahawa Anas bin Malik telah berkata,Rasulullah telah bersabda: “ Sesiapa yang meletakkan  akhirat itu sebagai tujuannya maka Allah akan berikan ia kekayaan (ketenangan) pada hatinya, Allah kumpulkan (mudahkan) segala urusannya ,Allah datangkan dunia itu sedang dunia itu akur kepadanya. Dan barangsiapa meletakkan dunia itu sebagai tujuannya maka Allah akan fakirkan (sempitkan) pandangannya ,Allah susahkan atas urusannya, dan tidak datang dunia itu melainkan dengan apa yang dikadarkan saja padanya”.hadis ini dinilai hasan( 2465).

Melakukan sesuatu perkara semata-mata inginkan balasan dunia merupakan perkara yang merugikan. Mengapa pula merugikan? Bukankah dunia ini Allah ciptakan untuk kita? Ya,memang benar dunia ini Allah ciptakan untuk kita,akan tetapi ia bukanlah tujuan sebenar bagi kita!  Bukanlah ia sebagai matlamat hidup kita!  Dunia yang Allah ciptakan ini adalah sebagai alat untuk kita sampai kepada matlamat(syurga).

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan tiadalah kehidupan dunia ini selain daripada main-main dan gurau senda. Dan sungguh kampung akhirat  itu lebih baik bagi orang yang bertakwa.Maka tidakkah kamu memahaminya?” (surah Al-An’am:32)

Maksud “gurau senda” di ayat tersebut ialah kesenangan dunia itu hanya sebentar. Sifatnya tidak kekal.Dilarang manusia itu daripada terpedaya dengan kesenangan dunia.Dilarang juga ia lalai dari memperhatikan urusan akhirat.

Kata imam Ghazali : “Dunia itu tempat kita menanam, akhirat itu tempat kita menuai”. Maka jadikanlah dunia ini sebagai wasilah untuk kita sampai kepada ghayahnya(syurga).InsyaAllah.





Monday, 25 February 2013

0 comments








Monday, 28 January 2013

Bicaranya zikir,diamnya fikir

0 comments


Seorang muslim yang baik ialah mempunyai tutur kata yang baik dan lemah lembut. Lemah- lembut yang terkandung dalamnya akan hikmah.Diselit juga dalam kata-katanya dengan peringatan yang berbentuk nasihat dan manfaat.


Mengapa perlu lemah lembut? Kerana Allah itu Maha lembut,Dia juga suka akan kelembutan.Dan kerana manusia itu fitrahnya memang suka akan kelembutan. Lihat sajalah bagaimana Rasulullah  yang sentiasa berlemah-lembut kepada sahabat-sahabatnya.Daripada kelembutan itulah akan melahirkan rasa kasih sayang yang mendalam.


Inilah contoh golongan manusia yang hebat di sisi Allah. Bilamana ia hebat di sisi Allah maka semestinya juga ia hebat di sisi manusia yang lain. Kesopanan perilaku dan keramahan tutur katanya menjadikan orang sekelilingnya sayang kepadanya.


 Adanya disayangi,  tiadanya dirindui. Dikagumi akan kesungguhan mereka menjaga tutur kata daripada perkara  sia-sia. Sebab itu ada sebahagian ahli ilmu  mengatakan “orang yang jahil  ia akan berkata-kata daripada belakang lidahnya, manakala orang yang  berilmu ia akan berkata-kata daripada belakang hatinya.”


Perumpamaan berkata-kata daripada belakang lidah ialah memperkatakan sesuatu mengikut kehendak hawa nafsunya.Berkata-kata tanpa memikirkan buruk baiknya. Suka ia menyebut-nyebut kebaikan yang telah dilakukannya kepada orang lain,padahal islam melarang sedemikian.Tidak terfikir ia akan kewujudan malaikat Raqib dan Atid yang sentiasa menghisab tutur katanya. Allah telah berfirman dalam surah Qof ayat 18 yang berbunyi  “tidak ada suatu katapun yang akan terlepas yang diucapkan melainkan terdapat di sisinya dua malaikat yang bersedia mencatatnya”.


Peribahasa melayu ada mengatakan “terlajak perahu boleh diundur balik,terlajak kata buruk padahnya” .  Peribahasa ini menyuruh kita menjaga tutur kata atau bicara daripada mengatakan perkara yang sia-sia contohnya mengumpat,merendah-rendahkan orang lain,mencaci ,berburuk sangka,mencari kesalahan orang lain dan sebagainya.Allah mencela mereka yang bersifat demikian.


Allah berfirman dalam surah hujurat ayat 12 yang berbunyi “ hai orang-orang yang beriman,jauhilah daripada banyaknya berprasangka,sesungguhnya sebahagian berprasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan mencela sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha penerima taubat lagi Maha penyayang”.


Yang si berkata rugi,yang si mendengarnya pun rugi. Bukan saja rugi di dunia,malahan turut sama rugi di akhirat sana.  Sememangnya daripada tutur kata yang tidak baik ini jugalah akan mengundang konflik antara dua pihak,menjatuhkan kehormatan seseorang,memecahbelahkan keharmonian institusi keluarga dan berleluasanya fitnah dalam masyarakat.


Akibat daripada tidak menjaga lidah juga akan mencetuskan perkelahian, pertengkaran dan lebih parah lagi tersebarnya berita-berita yang tidak ada kebenarannya di dalam masyarakat.Inilah contoh sifat orang yang hatinya berpenyakit. Allah berfirman dalam surah hujurat ayat 6 yang berbunyi “ apabila datang orang fasiq kepadamu membawa khabar berita maka hendaklah engkau teliti,agar kamu tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya, menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan itu”.


Berbeza halnya dengan orang yang berkata daripada belakang hatinya. Ia berkata dengan penuh hikmah dan kasih sayang. Niatnya berkata kerana Allah, kelembutan kata-katanya mencontohi Rasulullah, penuh dengan nilai-nilai murni,bila ia diminta memberi teguran dan nasihat ia ikhlas kerana Allah,apa yang dikatakannya sesuai dengan amalannya.Inilah contoh orang yang mantap imannya.Bicaranya adalah “zikir”, diamnya adalah “fikir”. Zikir untuk memperingati kebesaran Allah, fikir untuk mendalami dan mengagungi keluasan ilmu Allah.


Mengapa perlu berkata daripada belakang hati? Kerana hati adalah kerajaan dalam badan,jika baik hati maka baiklah juga lisannya,jika buruk hati maka buruklah juga lisannya. Berhati-hatilah dengan hati jangan sampai ia mati. Bila ia mati lisannya akan mudah mencaci. Hidupkan hati dengan mengingati Allah,moga kita beroleh kebaikan dunia dan akhirat. InsyaAllah.







Wednesday, 16 January 2013

selesai fatrah imtihan.

0 comments

Alhamdulillah peperiksan semester pertama telah selesai dihadapi. Kelihatan ceria di wajah rakan-rakan Syariah tahun 4 ketika keluar dari dewan periksa. Bila ditanya macamana menjawab tadi? Ada yang tersengih-sengih,ada yang menjawab “entahlah” ada yang menjawab “bolehlah” pelbagai respon diberikan. 13 hari peperiksaan dijalankan. Bermula pada 30 Disember dan berakhir pada 13 Januari.



Menghadapi peperiksaan di musim sejuk benar-benar mencabar kekuatan fizikal dan mental setiap pelajar. Terkadang  tahap sejuknya mencecah 5°C ke bawah. Ketika menjawab soalan seolah-olah jari jemari terasa kebas. Kerap kali tangan dimasukkan ke dalam poket baju untuk menghilangkan rasa sejuk. Ada juga yang menggosok-gosokkan tangan di baju dan seluar untuk menghilangkan rasa sejuk di tangan. Ada juga yang berpeluk tubuh. Pelbagai cara digunakan untuk mencari sedikit rasa panas di tangan. Bagi mereka yang mempunyai sarung tangan tidaklah menghadapi masalah ketika menjawab kertas periksa.



Begitulah rutin tahunan bagi penuntut Azhar di bumi Anbiya ini,menghadapi peperiksaan di musim sejuk merupakan pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan. Walaupun keadaan situasi yang agak mencabar akan tetapi itu bukanlah sebagai penghalang bagi pelajar itu untuk meraih sebuah kejayaan. Selagimana namanya pelajar, selagi itulah dia akan menghadapi medan peperiksaan untuk diuji. Kata imam Syafie “bilamana kamu tidak  tahan lelahnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan”.



 Begitu jugalah bagi manusia yang bergelar hamba. Ujian dan cabaran mengajar erti sebuah kehidupan. Memaknakan sebuah kehidupan melalui ujian-ujianNya untuk menjadi mukmin lagi muttaqin. Adakah kita patut lari dari ujian Allah? Jawabnya tidak! Kita tidak sepatutnya lari dari ujian Allah . Yakinlah,di sebalik ujian itu terdapat nikmat yang Allah ingin beri kepada kita. Bersabarlah. Belajarlah daripada mereka terdahulu yang telah berjaya menghadapi ujian-ujian Allah. Janganlah kita berduka apabila Allah beri kita hujan di tengah hari,kerana hakikatnya Allah nak beri kita pelangi di petang hari. Wallahu a’lam.






Monday, 17 December 2012

Masjid Amru al-As,Dumyat

0 comments

Firman Allah taala: “Tidaklah pantas mereka yang musyrik itu memakmurkan masjid-masjid Allah sedang mereka mengakui bahawa mereka sendiri kafir.Itulah orang-orang yang sia-sia pekerjaannya, dan mereka kekal di dalam neraka” (Taubah: 17)

Firman Allah taala: “Hanya mereka  yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah mereka  yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat…” (Taubah: 18)


Masjid ini dibina pada tahun 642M bersamaan 21H. Dikenali sebagai masjid Al-Fath bersempena dengan peristiwa pembukaan Mesir (فتح مصر). Masjid ini telah dibuka oleh seorang sahabat Rasulullah yang bernama Miqdad bin Al-Aswad bin Tsa’labah bin Malik bin Rabiah. Meninggal pada 133H ketika berumur 70 tahun.


Merupakan masjid yang kedua dibina di Mesir dan Benua Afrika. Telah mengalami proses pembinaan semula dan pengubahsuaian lebih dari sekali . Pernah dimusnahkan oleh tentera Byzantine pada tahun 853M. Setelah orang islam kembali menguasai Dumyat, masjid ini dibina semula dan dibesarkan beberapa kali sehinggalah zaman Ayyubiah. Pernah ditukar menjadi gereja sebanyak dua kali.


Pada tahun 1219 ketika berlakunya perang salib ke-5, tentera salib telah menguasai Dumyat dan menukar masjid ini menjadi gereja. Kitab Al-Quran yang ada di masjid ini di hantar ke Rom untuk dipersembahkan kepada Pope sebagai bukti penaklukan Dumyat. Namun, pada dua tahun berikutnya(1221) tentera salib dikalahkan di Kaherah dan tempat ini ditukar semula menjadi masjid.


Pada tahun 1249 ketika berlakunya perang salib ke-7, masjid ini ditukar kali keduanya menjadi gereja dan dinamakan Gereja Virgin Mary (Virgin Mary Catheral). Strukturnya diubahsuai mengikut ciri-ciri keagamaan Kristian bersesuaian dengan aktiviti-aktiviti gereja.   


Antara peristiwa keagamaan Kristian yang sempat dilakukan disini ialah acara pembaptisan anak lelaki Raja Louis  ke-8  yang bernama John Triston. Pada zaman Mamluk, mereka telah berjaya mengalahkan tentera salib . Pemerintah Mamluk pada waktu itu ialah Sultan Baibar. Beliau telah mengukuhkan dan membaikpulih masjid ini. Proses pengubahsuaian berlaku sehingga zaman Turki Uthmaniyyah.


Masjid ini telah mengalami kerosakan akibat faktor persekitaran, takungan air bawah tanah, kelembapan dan lain-lain. Sehingga pada tahun 2002 (Suprema Council of Antiquitics of Egypt) telah memulakan langkah pembaikpulihan seluruh masjid. Perbelanjaan kos pembaikpulihan itu mencecah 27 juta pound Egypt. Kemudian masjid ini dibuka semula pada tahun 2009 sehinggalah sekarang ini.