Wednesday, 17 April 2013
Friday, 15 March 2013
Ujian.
Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan saja
mengatakan, “kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji? Dan
sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya
Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Allah mengetahui
orang-orang yang berdusta.(Surah Al-Ankabut: 2-3).
Apalah maksudnya hidup tanpa ada ujian. Ujian adalah warna dalam kehidupan. Setiap urusan yang kita tempuhi pasti ada ujiannya. Daripada sekecil-kecil urusan
hingga sebesar-besarnya,pasti akan ada ujian. Selagimana adanya kehidupan
selagi itulah adanya ujian.
Ujian sifatnya mendatang. Ia akan hadir biarpun tidak
diminta. Bila adanya ujian perlu adanya kesabaran. Kesabaran adalah benteng tika menghadapinya. Jangan pula adanya ujian,
adanya kebosanan. Maka ketika itu kita dikira tersalah pilihan. Kerana
kebosanan adalah racun dalam kehidupan.
Kisah nabi Ibrahim mari kita jadikan teladan. Kesabaran nabi
Ismail sukar jadi tandingan. Kerana
kesabarannya, ia rela jadi sembelihan. Nabi Ibrahim berkata “Wahai anakku
sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku yang aku menyembelihmu. Maka bagaimana
pendapatmu? Nabi Ismail menjawab “Wahai bapaku,kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu,InsyaAllah
engkau akan mendapatiku dalam kalangan orang yang sabar”.(surah As-shaffat : 102)
Bila dirimu merasai kesusahan,bukanlah bererti engkau akan susah sepanjang zaman. Bawalah
bersabar dalam kesabaran. Cuba nilai susah itu dengan penuh ketenangan.
Pandangan manusia selalu punya kesilapan.
Cuba lihat dari sisi pandangan Tuhan. Nescaya dirimu akan temui titik
kebahagiaan.
Jangan berputus asa bila dirimu temui kegagalan. Kerana
putus asa itu tidak menemui apa-apa kebaikan. Berfikirlah sejenak mencari
jalan. Merealisasikan kembali usaha demi sebuah kejayaan. Percaya dan yakinlah
akan datangnya kemenangan,ketika dirimu dalam “selimut” kesukaran. Hanya perlu sedikit kesabaran. Bukankah Allah ada
berfirman “sesungguhnya setiap kesukaran itu disertai kemudahan”? (surah
Al-Insyirah :6)
Friday, 8 March 2013
Tuesday, 26 February 2013
Tujuan.
Utamakan tujuan.
Tujuan dalam bahasa arab ialah “hadaf” atau “qosad”.
Ditentukan sesuatu pekerjaan itu samada ia baik atau sebaliknya perlu merujuk
kepada kepada tujuannya. Jika baik tujuannya maka baiklah pekerjaannya,jika
buruk tujuannya maka buruklah pekerjaannya. Tujuan disinonimkan juga dengan niat.
Tujuan sebenar bagi seorang muslim ialah inginkan kebahagiaan di akhirat. Yang
dimaksudkan akhirat itu ialah Syurga Allah swt. Dua syarat utama untuk ke
syurga Allah ialah punya iman serta beramal soleh. Di syurga semuanya indah
belaka. Segala-galanya indah. Ketika di dunia ia miskin,di sana ia akan kaya
raya. Ketika di dunia ia susah di sana ia akan senang lenang. Ketika di dunia
ia derita, di sana ia hidup dengan kemewahan.
Rasulullah ada menceritakan perihal manusia yang pernah
merasa derita di dunia akan tetapi sebaik saja ia memasuki dan merasai kenikmatan syurga Allah, ia terus
terlupa akan kisah deritanya.
Sepertimana yang tercatat di dalam kitab sohih muslim,bahawa
Rasulullah telah bersabda : Pada hari kiamat nanti,Allah datangkan manusia yang
paling nikmat dalam hidupnya ,segala-galanya nikmat. Allah ambil ia lalu Allah
celupkan ia ke dalam neraka dengan sekali celupan. Kemudian Allah berkata
kepadanya: Wahai anak Adam,adakah kamu pernah merasa nikmat dalam hidup ini? Ia
menjawab: Tidak ya Allah,aku tidak pernah sekalipun merasa nikmat dalam hidup
ini.
Kerana azab dan siksanya dicelup dalam neraka ia terlupa
kisah nikmat dulunya.
Kemudian Allah datangkan pula manusia yang paling derita
hidupnya di dunia,segala-galanya derita. Daripada kalangan ahli syurga.
Kemudian Allah ambil ia lalu Allah celupkan ia ke dalam syurga dengan sekali celupan. Kemudian Allah berkata
kepadanya : Wahai anak Adam ,adakah engkau pernah merasai derita sebelum ini?
Lantas ia menjawab: Sungguh ya Allah, aku tak pernah rasa derita pun dalam
hidup ini.
Kerana nikmatnya syurga,hanya sekali celupan saja di
syurga,ia lupa kisah deritanya.(7019)
Meletakkan tujuan yang betul dapat menentukan matlamat
kehidupan yang tepat,lurus dan menjurus. Tujuan seringkali digandingkan dengan
matlamat. Matlamat merupakan sumber kekuatan kepada insan untuk mendorong
kepada sebuah kejayaan. Dengan membesarkan matlamat,halangan dan rintangan akan
menjadi kecil. Seterusnya memudahkan ia untuk menuju kepada kejayaan.
Tenangnya hati.
Melaksanakan sesuatu kerana inginkan keredaan Allah akan
melahirkan rasa ketenangan dalam hatinya. Ketenangan tidak dapat dilihat,tetapi
dapat dirasa. Sifatnya maknawi bukannya hissi. Tidak ada perkara yang paling
berharga di dunia ini melainkan adanya ketenangan hati.Bukan semua manusia bisa
memilikinya,hanya mereka yang akrab kepada Sang Pencipta sajalah yang layak
memilikinya.Merekalah insan pilihan Allah.Bila insan menyerahkan segala
urusannya kepada Allah,maka ia akan merasai manisnya ketenangan.
Imam Tirmizi meriwayatkan hadis di dalam kitab
Jami’nya,bahawa Anas bin Malik telah berkata,Rasulullah telah bersabda: “
Sesiapa yang meletakkan akhirat itu
sebagai tujuannya maka Allah akan berikan ia kekayaan (ketenangan) pada
hatinya, Allah kumpulkan (mudahkan) segala urusannya ,Allah datangkan dunia itu
sedang dunia itu akur kepadanya. Dan barangsiapa meletakkan dunia itu sebagai
tujuannya maka Allah akan fakirkan (sempitkan) pandangannya ,Allah susahkan
atas urusannya, dan tidak datang dunia itu melainkan dengan apa yang dikadarkan
saja padanya”.hadis ini dinilai hasan( 2465).
Melakukan sesuatu perkara semata-mata inginkan balasan dunia
merupakan perkara yang merugikan. Mengapa pula merugikan? Bukankah dunia ini
Allah ciptakan untuk kita? Ya,memang benar dunia ini Allah ciptakan untuk
kita,akan tetapi ia bukanlah tujuan sebenar bagi kita! Bukanlah ia sebagai matlamat hidup kita! Dunia yang Allah ciptakan ini adalah sebagai
alat untuk kita sampai kepada matlamat(syurga).
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan tiadalah kehidupan
dunia ini selain daripada main-main dan gurau senda. Dan sungguh kampung
akhirat itu lebih baik bagi orang yang
bertakwa.Maka tidakkah kamu memahaminya?” (surah Al-An’am:32)
Maksud “gurau senda” di ayat tersebut ialah kesenangan dunia
itu hanya sebentar. Sifatnya tidak kekal.Dilarang manusia itu daripada
terpedaya dengan kesenangan dunia.Dilarang juga ia lalai dari memperhatikan
urusan akhirat.
Kata imam Ghazali : “Dunia itu tempat kita menanam, akhirat
itu tempat kita menuai”. Maka jadikanlah dunia ini sebagai wasilah untuk kita
sampai kepada ghayahnya(syurga).InsyaAllah.
Monday, 25 February 2013
Monday, 28 January 2013
Bicaranya zikir,diamnya fikir
Seorang muslim yang baik ialah mempunyai tutur
kata yang baik dan lemah lembut. Lemah- lembut yang terkandung dalamnya akan
hikmah.Diselit juga dalam kata-katanya dengan peringatan yang berbentuk nasihat
dan manfaat.
Mengapa
perlu lemah lembut? Kerana Allah itu Maha lembut,Dia juga suka akan kelembutan.Dan
kerana manusia itu fitrahnya memang suka akan kelembutan. Lihat sajalah
bagaimana Rasulullah yang sentiasa berlemah-lembut kepada sahabat-sahabatnya.Daripada kelembutan itulah akan melahirkan
rasa kasih sayang yang mendalam.
Inilah
contoh golongan manusia yang hebat di sisi Allah. Bilamana ia hebat di sisi
Allah maka semestinya juga ia hebat di sisi manusia yang lain. Kesopanan perilaku
dan keramahan tutur katanya menjadikan orang sekelilingnya sayang kepadanya.
Adanya disayangi, tiadanya dirindui. Dikagumi akan kesungguhan
mereka menjaga tutur kata daripada perkara sia-sia. Sebab itu ada sebahagian ahli ilmu mengatakan “orang yang jahil ia akan
berkata-kata daripada belakang lidahnya, manakala orang yang berilmu ia akan berkata-kata daripada belakang
hatinya.”
Perumpamaan
berkata-kata daripada belakang lidah ialah memperkatakan sesuatu mengikut kehendak
hawa nafsunya.Berkata-kata tanpa memikirkan buruk baiknya. Suka ia
menyebut-nyebut kebaikan yang telah dilakukannya kepada orang lain,padahal
islam melarang sedemikian.Tidak terfikir ia akan kewujudan malaikat Raqib dan
Atid yang sentiasa menghisab tutur katanya. Allah telah berfirman dalam surah
Qof ayat 18 yang berbunyi “tidak ada
suatu katapun yang akan terlepas yang diucapkan melainkan terdapat di sisinya
dua malaikat yang bersedia mencatatnya”.
Peribahasa
melayu ada mengatakan “terlajak perahu boleh diundur balik,terlajak kata buruk
padahnya” . Peribahasa ini menyuruh kita
menjaga tutur kata atau bicara daripada mengatakan perkara yang sia-sia
contohnya mengumpat,merendah-rendahkan orang lain,mencaci ,berburuk sangka,mencari
kesalahan orang lain dan sebagainya.Allah mencela mereka yang bersifat
demikian.
Allah
berfirman dalam surah hujurat ayat 12 yang berbunyi “ hai orang-orang yang
beriman,jauhilah daripada banyaknya berprasangka,sesungguhnya sebahagian
berprasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang
lain dan mencela sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu
memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik
kepadanya. Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha penerima taubat
lagi Maha penyayang”.
Yang si
berkata rugi,yang si mendengarnya pun rugi. Bukan saja rugi di dunia,malahan
turut sama rugi di akhirat sana.
Sememangnya daripada tutur kata yang tidak baik ini jugalah akan
mengundang konflik antara dua pihak,menjatuhkan kehormatan
seseorang,memecahbelahkan keharmonian institusi keluarga dan berleluasanya
fitnah dalam masyarakat.
Akibat
daripada tidak menjaga lidah juga akan mencetuskan perkelahian, pertengkaran
dan lebih parah lagi tersebarnya berita-berita yang tidak ada kebenarannya di
dalam masyarakat.Inilah contoh sifat orang yang hatinya berpenyakit. Allah
berfirman dalam surah hujurat ayat 6 yang berbunyi “ apabila datang orang fasiq
kepadamu membawa khabar berita maka hendaklah engkau teliti,agar kamu tidak menimpakan
musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya, menyebabkan kamu
menyesal atas perbuatan itu”.
Berbeza
halnya dengan orang yang berkata daripada belakang hatinya. Ia berkata dengan
penuh hikmah dan kasih sayang. Niatnya berkata kerana Allah, kelembutan
kata-katanya mencontohi Rasulullah, penuh dengan nilai-nilai murni,bila ia
diminta memberi teguran dan nasihat ia ikhlas kerana Allah,apa yang
dikatakannya sesuai dengan amalannya.Inilah contoh orang yang mantap
imannya.Bicaranya adalah “zikir”, diamnya adalah “fikir”. Zikir untuk
memperingati kebesaran Allah, fikir untuk mendalami dan mengagungi keluasan
ilmu Allah.
Mengapa
perlu berkata daripada belakang hati? Kerana hati adalah kerajaan dalam
badan,jika baik hati maka baiklah juga lisannya,jika buruk hati maka buruklah
juga lisannya. Berhati-hatilah dengan hati jangan sampai ia mati. Bila ia mati
lisannya akan mudah mencaci. Hidupkan hati dengan mengingati Allah,moga kita
beroleh kebaikan dunia dan akhirat. InsyaAllah.
Wednesday, 16 January 2013
selesai fatrah imtihan.
Alhamdulillah peperiksan semester pertama
telah selesai dihadapi. Kelihatan ceria di wajah rakan-rakan Syariah tahun 4
ketika keluar dari dewan periksa. Bila ditanya macamana menjawab tadi? Ada yang
tersengih-sengih,ada yang menjawab “entahlah” ada yang menjawab “bolehlah” pelbagai
respon diberikan. 13 hari peperiksaan dijalankan. Bermula pada 30 Disember dan
berakhir pada 13 Januari.
Menghadapi peperiksaan di musim sejuk
benar-benar mencabar kekuatan fizikal dan mental setiap pelajar. Terkadang tahap sejuknya mencecah 5°C ke bawah. Ketika
menjawab soalan seolah-olah jari jemari terasa kebas. Kerap kali tangan dimasukkan
ke dalam poket baju untuk menghilangkan rasa sejuk. Ada juga yang
menggosok-gosokkan tangan di baju dan seluar untuk menghilangkan rasa sejuk di
tangan. Ada juga yang berpeluk tubuh. Pelbagai cara digunakan untuk mencari
sedikit rasa panas di tangan. Bagi mereka yang mempunyai sarung tangan tidaklah
menghadapi masalah ketika menjawab kertas periksa.
Begitulah rutin tahunan bagi penuntut
Azhar di bumi Anbiya ini,menghadapi peperiksaan di musim sejuk merupakan
pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan. Walaupun keadaan situasi yang agak
mencabar akan tetapi itu bukanlah sebagai penghalang bagi pelajar itu untuk
meraih sebuah kejayaan. Selagimana namanya pelajar, selagi itulah dia akan
menghadapi medan peperiksaan untuk diuji. Kata imam Syafie “bilamana kamu
tidak tahan lelahnya belajar, maka kamu
akan menanggung peritnya kebodohan”.
Begitu jugalah bagi manusia yang bergelar hamba.
Ujian dan cabaran mengajar erti sebuah kehidupan. Memaknakan sebuah kehidupan
melalui ujian-ujianNya untuk menjadi mukmin lagi muttaqin. Adakah kita patut
lari dari ujian Allah? Jawabnya tidak! Kita tidak sepatutnya lari dari ujian
Allah . Yakinlah,di sebalik ujian itu terdapat nikmat yang Allah ingin beri
kepada kita. Bersabarlah. Belajarlah daripada mereka terdahulu yang telah
berjaya menghadapi ujian-ujian Allah. Janganlah kita berduka apabila Allah beri
kita hujan di tengah hari,kerana hakikatnya Allah nak beri kita pelangi di
petang hari. Wallahu a’lam.
Subscribe to:
Posts (Atom)